Pengenalan Tradisi Kesultanan dari perspektif Islam
Kesimpulan Pengaruh Islam yang berlaku di Nusantara
Sebuah
kerajaan Melayu yang agung ialah kerajaan Melaka yang lahir dan berkembang
selepas sahaja malapnya kekuasaan dan berakhirnya keagungan Majapahit di
Tanah Jawa di akhir kurun ke 14. Dapatlah dikatakan bahawa di antara faktor
penting yang menyebabkan cepatnya kepudaran kuasa Majapahit ialah disebabkan
kepesatan perkembangan agama Islam di Melaka.
Mengenai
kemasukan Islam ke Tanah Melayu, para sejarahwan berpendapat bahawa Melaka
merupakan negeri yang mula-mula di sebelah sini yang menerima agama Islam.
Raja Melaka yang pertama iaitu Parameswara dikatakan telah memeluk agama
Islam pada tahun 1414 Masihi. Menjelang waktu itu, Melaka telah menjadi
pusat perdagangan di daerah itu. Pengislaman Raja Melaka merupakan hasil
usaha pengembang-pengembang agama Islam yang datang bersama-sama dengan
saudagar-saudagar Islam yang kaya raya dan mendapat sokongan Raja Pasai.
Setelah
diislamkan, Parameswara, iaitu pengasas kerajaan Melaka, menukarkan namanya
menjadi Megat Iskandar Shah dan berkahwin dengan puteri Sultan Pasai. Tidak
lama kemudian, Melaka pun menjadi pusat pengajian Islam dan kedaulatannya
meluas ke beberapa bahagian Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Agama
Islam turut berkembang dengan meluasnya kekuasaan Melaka. Raja Melaka mengutuskan
pengembang-pengembang agama ke Jawa dan ke bahagian-bahagian lain Gugusan
Pulau-pulau Melayu di sepanjang jalan perdagangan.
Apabila
Melaka menjadi koloni Portugis pada tahun 1511 Masihi, pimpinan agama Islam
diambilalih oleh Acheh di Sumatera utara yang terus memperkembangnya di
Sumatera dan di Semenanjung Tanah Melayu. Dari Acheh, agama Islam berkembang
ke Ulakand dan dari sana ke Minangkabau.
Islam menyebabkan timbulnya beberapa kesultanan
yang berdaulat, dan kerjasama antara kesultanan-kesultanan ini sangat menggalakkan.
Undang-undang kanun Shafie merupakan asas undang-undang bagi bangsa Melayu.
Undang-undang mengenai hal-hal harta benda, perdagangan, tatatertib istana,
perhambaan, perkahwinan dan penghukuman serta pendendaan kerana kesalahan,
diterima sebagai undang-undang negara. Walau bagaimana besar sekalipun
kekuasaan yang ada pada kadi-kadi atau pada guru agama, dalam hal-hal keduniaan
dan politik, orang Indonesia terus menerima petunjuk dari adat dan mematuhi
orang-orang yang memegang kuasa secara tradisional.
1. Tradisi Kesultanan dari perspektif Islam
a. Agama
Islam dan kekebalan Raja
Institusi
kesultanan dalam konteks tradisi politik Melayu-Islam tidak harus dilihat
sebagai pengekalan konsep dewaraja Hindu dengan segala unsur kesakitan,
kekebalan, kemutlakan, kesewenang-wenangan dan keluarbiasaan kedewaannya.
Sultan dalam tradisi politik Melayu bukan lagi jelmaan dewa yang mencipta
dan mengatasi undang-undang. Sesungguhnya proses pengislaman telah memanusiakan
raja dan menanggalkannya kepada undan-undang al-Quran dan al-Sunnah.
Kesultanan
adalah sebuah institusi keadilan. Kerana itulah setiap raja yang menaiki
takhta harus bersumpah akan memerintah dengan seadil-adilnya sambil menjunjung
al-Quran. Ertinya raja tidak mengatasi al-Quran dan segala hukum-hukumnya.
Raja adalah pemegang amanah pelaksana keadilan. Islam telah memberikan
martabat dan hak-hak keinsanan kepada rakyat Melayu. Sejak itu umat Melayu
amat peka dengan nilai keadilan. Kerana itu dalam sejarah dan tradisi politik
Melayu-Islam dari waktu ke waktu kita menyaksikan cetusan keprihatinan
rakyat apabila istana gagal melaksanakan keadilan, gagal membela rakyat
yang teraniaya, apa lagi jika istana sendiri sudah menjadi sarang penganiayaan.
Institusi
raja bukan suatu yang beku. Ia telah berubah dan harus terus berubah sesuai
dengan keperluan zaman dan lingkungan. Demikian pula dengan Islamisasi
yang pada hakikatnya adalah merupakan suatu proses yang berterusan. Mungkin
masih ada sisa-sisa tradisi pra-Islam atau unsur-unsur tradisi politik
Barat dalam institusi kesultanan kita yang memerlukan penerusan proses
Islamisasi.
b. Raja
dan etikanya dalam tradisi politik Melayu-Islam
Islam
dan revolusi budayanya telah membawa perubahan ideologikal yang cukup mendasar
dalam ketatanegaraan Melayu. Dalam hubungan ini, konsep raja telah mengalami
transformasi makna atau perubahan konseptual apabila istilah raja itu dirujuk
dan dipadankan dengan peristilahan politik Islam seperti khalifah, sultan
dan imam. Raja boleh diertikan sebagai khalifah yang membawa makna pengganti
dan pelanjut pemerintahan nabawi yang berlandaskan al-Quran, al-Hadis dan
al-Ijmak. Raja juga diertikan sebagai sultan yang membawa makna penguatkuasa
keadilan hukum yang bersumberkan ajaran Allah dan RasulNya. Seterusnya,
raja boleh diertikan sebagai imam yang membawa maksud kepemimpinan dan
keteladanan.
Dalam
tradisi politik Melayu, kesultanan adalah merupakan institusi penegak keadilan.
Setiap raja yang menaiki takhta diminta menyatakan komitmennya untuk memerintah
dengan seadil-adilnya menerusi sumpah dengan nama Allah. Memang setia Melayu-Islam
kepada rajanya adalah setia bersyarat, raja adil raja disembah, raja zalim
raja disanggah. Raja dan rakyat mempunyai tanggungjawab yang timbal balik
sebagaimana yang termetri dalam persefahaman rakyat tidak boleh derhaka,
raja tidak boleh zalim.
Al-Quran dan al-Sunnah yang merupakan sumber asasi
sistem ketatanegaraan Islam juga tidak mengecualikan raja dari undang-undang.
Dalam tradisi politik Melayu pula kita menemukan kes Putera Mahkota Acheh
Darul Salam yang dihukum bunuh kerana kesalahan zina.
Al-Quran
dan al-Sunnah juga merupakan sumber etika kesultanan Melayu zaman tradisi.
Tetapi apa yang digariskan oleh kedua-dua sumber tersebut pada asasnya
adalah berupa prinsip-prinsip dan nilai-nilai dasar yang memerlukan pemerincian
dalam konteks ruang dan waktu atau realiti zaman dan suasana setempat.
Kerana itulah wujudnya amalan di kalangan khalifah-khalifah Islam meminta
para ilmuwan zaman mereka merumuskan kod etika kekhalifahan dalam bentuk
sejumlah nasihat yang perlu dipatuhi oleh para khalifah.
Tidak dapat dinafikan adanya raja-raja dalam sejarah
kesultanan kita yang membelakangkan etika, tetapi kejadian tersebut adalah
merupakan suatu penyimpangan dan bukannya arus besar tradisi politik Melayu-Islam.
c.
Raja - kepimpinan dan keteladanannya
Raja
dan pemimpin umat seluruhnya adalah ikutan dan teladan. Kerana itu, watak,
peri laku dan gaya hidup raja serta para penguasa lainnya seharusnya menepati
ciri-ciri kepemimpinan dan keteladanan berasaskan nilai-nilai agama dan
budaya umat.
Keilmuan
adalah kriteria kepemimpinan yang sangat ditekankan oleh Islam. Memang
pada zaman kegemilangan tamadun Islam keilmuan dan kepemimpinan tidak pernah
terpisah. Para khalifah adalah tokoh-tokoh yang menepati kriteria pemimpin-ilmuwan.
Lagi satu kriteria yang perlu ada pada raja ialah sifat penyayang. Sifat
penyayang itulah yang menjadi penambat kasih sayang rakyat terhadap raja.
Sekiranya raja bersifat kasar dan bengis, rakyat akan dilanda ketakutan
dan ini akan mendorong mereka bersikap pura-pura, bermuka-muka dan hipokrit
terhadap raja. Malah lebih buruk lagi mungkin mereka akan berlepas tangan
ketika raja dalam bahaya atau kesulitan.
Antara raja dan rakyat perlu wujud hubungan saling
sayang-menyayangi. Untuk mewujudkan hubungan saling kasih-mengasihi, Nabi
Muhammad s.a.w. mengingatkan pula tentang tanggungjawab raja terhadap rakyatnya.
Dalam tradisi pra-Islam, rakyatlah yang harus mengabdi kepada raja. Kerja
raja dijunjung, kerja sendiri dikelek. Tetapi agama Islam telah mengubah
tradisi tersebut dengan meletakkan tugas melayani rakyat di bahu raja.
Kesedaran tentang tanggungjawab memberi khidmat kepada rakyat itu memang
wujud di kalangan sebilangan raja zaman tradisi kesultanan Melayu.
Sebagai
penguasa yang datang dari umat, mereka adalah setaraf dengan umat dan sama-sama
tertakluk kepada syariat. Ternyata rakyat di sepanjang sejarah meletakkan
harapan yang begitu tinggi terhadap raja dan para penguasa. Mereka ingin
mempunyai raja yang bersifat ‘philosopher-king’, raja-pendidik, raja-ilmuwan,
raja berjiwa rakyat dan sebagainya.
d.
Tradisi menasihati Raja
Menasihati
raja atau khalifah sebenarnya memang suatu amalan yang sudah menjadi sebahagian
dari tradisi politik umat Islam. Amalan ini merupakan sejenis kawalan sosial
yang menjadi faktor penting kekuatan dan ketertiban politik Islam. Tradisi
menasihati raja atau penguasa dalam erti memberikan teguran dan saranan
dapat ditelusuri sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi.
Nasihat-nasihat kepada raja atau penguasa bukan
hanya diberi, tetapi seringkali diminta oleh raja-raja itu sendiri. Yang
selalu menjadi rujukan untuk mendapatkan nasihat ialah para ilmuwan yang
berwibawa. Memang menurut Islam, kehidupan umat banyak ditentukan oleh
kualiti dan peranan kedua golongan tersebut - para ilmuwan dan para penguasa.
Para
penguasa memang memerlukan nasihat dan bimbingan golongan ilmuwan yang
jujur dan berwibawa. Tidak semua ilmuwan layak menjadi rujukan penguasa.
Di sepanjang sejarah ada saja ilmuwan yang mengkhianati tanggungjawab moralnya,
menyatakan yang benar walaupun pahit. Para penguasa dan raja-raja seharusnya
menghindari pengaruh ilmuwan berkepentingan yang sanggup memberikan justifikasi-justifikasi
keilmuan terhadap nafsu dan selera raja.
Dalam
tradisi kesultanan Melayu, memang wujud budaya menghargai nasihat dan bimbingan
ilmuwan. Apabila nasihat sudah tidak dihormati, lalu raja memerintah dengan
keserakahan nafsu, itulah petanda mendekatnya ajal kehancuran. Dalam sejarah
kesultanan Melaka, nama Sultan Mahmud Shah dicatat sebagai raja yang menyimpang
dari amalan mendengar dan menghormati nasihat. Baginda bertindak sewenang-wenang,
merampas dan membunuh. Akibatnya kegemilangan Melaka mengalami gerhana.
e.
Suara rakyat dan keterbukaan Raja
Kebebasan
bersuara yang diberikan oleh Islam adalah meliputi hak memprotes penyimpangan
peri laku para penguasa. Para penguasa Islam sendiri rata-rata bersikap
lapang dada terhadap kritik dan teguran. Malah sebenarnya kesediaan menerima
teguran itu merupakan syarat yang standard dan baku dalam pelantikan imam
atau raja dalam tradisi politik Islam.
Penguasa
dan rakyat adalah sama-sama manusia biasa yang mempunyai kelemahan masing-masing.
Para penguasa harus melaksanakan tanggungjawabnya memimpin rakyat melakukan
kemakrufan (kebaikan) dan menghindari kemungkaran. Demikian pula sebaliknya
rakyat harus menasihati raja dan para penguasa lainnya.
2. Pengaruh Islam yang berlaku di Nusantara
Kedatangan Islam ada membawa berbagai perubahan tetapi masih terdapat unsur-unsur tradisi atau fahaman-fahaman yang bercanggah dengan Islam. Situasi tersebut berlaku menurut keadaan yang wujud, di mana-mana wilayah yang kuat dipengaruhi oleh Islam, berlakulah perubahan yang ketara dalam berbagai aspek. Sebaliknya di wilayah-wilayah yang kuat dipengaruhi oleh kebudayaan Hindu-Buddha, pengaruh Islam dalam apa jua bidang pun kelihatan begitu kecil dan lemah.
a.
Pengaruh Islam dalam bidang politik
Dari
segi politik, terdapat perubahan yang jelas bila wujudnya kerajaan Melayu-Islam
yang berpunca dari gerakan dakwah Islamiah oleh mubaligh-mubaligh dan ulama-ulama
yang datang ke rantau ini. Sebelum wujudnya pemerintahan yang bercorak
Islam ianya didahului oleh penempatan atau perkumpulan orang-orang Islam
yang menduduki di sesuatu daerah. Di Nusantara pertama kali terdapat masyarakat
Islam yang dikenali sebagai Ta-Shih pada tahun 674 Masihi. Ta-Shih ialah
suatu panggilan kepada orang-orang Arab di rantau ini, yang terdapat di
pantai barat Sumatera dan di Jawa.
Bagi
menjamin keselamatan agama dan negara, kerajaan-kerajaan Islam terpaksa
menjalinkan hubungan diplomatik dan persahabatan dengan kuasa-kuasa besar
Islam ketika itu seperti kerajaan Turki. Dalam kerajaan Acheh terdapat
sebuah jabatan bagi mengurus hubungan luar. Kerajaan Acheh memulakan perhubungan
persahabatan dengan kerajaan Turki pada tahun 1516 Masihi. Menerusi hubungan
tersebut Turki membekalkan alat-alat senjata dan penasihat-penasihat tentera
kepada Acheh. Dengan itu, kerajaan tersebut dapat mengukuhkan pertahanannya
terutama bagi menghadapi ancaman Portugis.
Sebagai
negara yang menerima ajaran Islam, unsur-unsur politik Islam yang berbentuk
sejagat, saksama, adil, mengenal hak dan bertanggungjawab telah mempengaruhi
masyarakat Nusantara. Konsep pendewaan kepada raja-raja sehingga ke tahap
menyembah telah bertukar kepada konsep sultan atau kesultanan yang hanya
sekadar memuliakannya sebagi seorang yang mempunyai kuasa pemerintah, sebagai
ketua negara. Mereka adalah orang yang bertanggungjawab melaksanakan undang-undang,
melakukan keadilan, menjaga keamanan, memelihara hak-hak serta kepentingan
rakyat. Sultan merupakan ketua tertinggi bagi melindungi agama dan adat
tetapi tidaklah dianggap sebagai peribadi yang paling suci seperti zaman
Hindu. Bagaimanapun rata-rata masyarakat masih menganggap yang sultan itu
mempunyai daulat, kedudukannya mengatasi undang-undang sehingga tidak boleh
dikenakan sebarang hukuman.
Agama
Islam merupakan agama rasmi negara yang mendapat berbagai-bagai keistimewaan
dan kemudahan sama ada dari segi penyibaran, pentadbiran dan perlaksanaan
hukum-hukumnya. Selain dari undang-undang kekeluargaan Islam, perkara-perkara
yang bersangkut dengan muamalah ada juga setengah daripada undang-undang
jenayah Islam dilaksanakan walaupun secara yang kurang sempurna dan komprehensif.
Di Melaka sebagai contoh terdapat perlaksanaan hukum zina dan mencuri secara
Islam yang terdapat dalam peruntukan Hukum Kanun Melaka. Berpandu kepada
situasi tersebut, kerajaan Melaka diaktakan sebagai sebuah kerajaan Islam
dan juga menjadi sebuah empayar Islam di Asia Tenggara. Begitu juga denagn
kerajaan Acheh yang berpengaruh selepasnya.
Rata-rata
struktur politik kerajaan Islam di Nusantara mengembelingkan tenaga seluruh
rakyat bagi memperjuang dan mempertahankan ajaran Islam, negara dan umatnya.
Justeru itu semangat jihad yang tidak mengenal lelah semata-mata untuk
berbakti kepada Allah sama ada dalam bentuk fizikal (kekuatan tenaga dan
senjata) mahupun mental (perang saraf) digerakkan pada sepanjang masa.
Rakyat sentiasa digerak supaya kasih dan cintakan tanah air, kerana kecintaan
kepada negara itu merupakan sebahagian daripada iman. Mereka juga ditiupkan
dengan semangat kerjasama dan perpaduan dengan menganggap bahawa seluruh
umat Islam itu adalah satu anggota (ummah wahidah). Akibat dari semangat
tersebut, muncullah konsepsi bahawa seluruh umat Islam di dunia ini adalah
bersaudara.
b.
Pengaruh Islam dalam bidang sosial
Walaupun
tidak sepenuhnya unsur-unsur sosial Islam yang menyerap ke Nusantara dapat
mempengaruhi masyarakat, namun sudah terdapat nilai-nilai persamaan taraf
antara manusia, tidak wujud lagi sistem perhambaan dan amalan kasta yang
membimbangkan. Komunikasi antara kelompok manusia dapat berjalan dengan
sempurna, ianya dapat dijalin menerusi sifat hormat-menghormati, bergotong-royong
dan bantu-membantu. Dalam Islam unsur-unsur tersebut amat ditekankan kerana
ianya merupakan sebahagian daripada amal salih.
Perubahan
sosial juga berlaku dengan adanya revolusi mental yang diketengahkan oleh
Islam dalam masyarakat di Nusantara. Semua ajaran Islam mengandungi unsur-unsur
rasionalisme, di mana Islam telah menekankan konsep sama taraf antara manusia
di sisi Allah. Semua manusia adalah berasal dari Adam a.s. dan Adam a.s.
dijadikan dari tanah. Oleh itu yang maha berkuasa ialah Allah, Dialah yang
menjadikan segala makluk, kemudian mematikan dan akhirnya dihidupkan semula,
kepadaNya sahaja yang wajib disembah.
Begitu
juga Islam menonjolkan unsur-unsur metafizika yang berkaitan dengan rukun
iman dan perkara-perkara yang berhubung dengan Sam’iyyat di samping unsur-unsur
Hukum Syarak yang terdiri dari perkara-perkara wajib, sunat, makruh, haram
dan harus. Unsur-unsur tersebut amat mempengaruhi pemikiran mereka, oleh
itu segala kerjaya dan tindak-tanduk mereka bukan semata-mata didorong
oleh kesenangan duniawi tetapi juga untuk mendapat keredaan Allah dan pembalasan
di akhirat. Dalam melakukan sesuatu pekerjaan mereka lakukan secara ikhlas
dan bersungguh-sungguh di samping memperhitungkan sama ada ianya halal
atau haram. Tegasnya semua kegiatan yang dilakukan sama ada dari aspek
sosial, ekonomi, politik dan lain-lain adalah didasar oleh pemikiran dan
petunjuk Islam.
c.
Pengaruh Islam dalam bidang ekonomi
Kedatangan
Islam hanya memberi suatu kelanjutan terhadap kegiatan ekonomi yang sedia
wujud atau sekurang-kurangnya memberi wajah baru atau konsep serta matlamat
baru dalam aspek perdagangan dan ekonomi masyarakat Nusantara.
Konsep
ekonomi Islam bukanlah semata-mata kebendaan atau kekayaan yang menjadi
matlamat akhir dari segala kegiatan ekonomi atau dengan lain perkataan
bukanlah semata-mata bertujuan duniawi tetapi apa yang menjadi matlamat
akhir ialah keredaan Allah. Oleh itu segala kegiatan ekonomi sentiasa dipengaruhi
oleh hukum yang ditetapkan oleh syarak, sama ada halal atau haram. Justera
itu mereka tidak diizinkan melakukan riba, merampas, penipuan dalam jual
beli, monopoli perdagangan dan lain-lain. Bagi mendapat keredaan Allah
dan kepentingan masyarakat umum, kekayaan yang didapati hendaklah dikeluarkan
zakat dan digalakkan pula untuk berwakaf dan melakukan amal jariah. Itulah
konsep dan matlamat akhir kebendaan dan kekayaan dalam Islam yang mempengaruhi
masyarakat Nusantara.
d.
Pengaruh Islam dalam bidang pendidikan
Pengaruh
Islam dalam semua bidang sama ada secara kukuh atau sederhana rasanya adalah
berpunca dari kejayaan Islam itu sendiri dalam menyibarkan ilmu pengetahuan
dan pendidikannya. Agama dan ilmu pengetahuan merupakan dua angkubah yang
saling berkait dan pengaruh mempengaruhi, boleh diibaratkan sebagai roh
dengan jasad bagi sesuatu badan. Tidak bergerak jasad tanpa roh begitu
juga tidak berfungsi roh tanpa jasad. Dengan kata lain bahawa ilmu merupakan
alat yang paling unggul dalam pengukuhan iman dan takwa, tidak sempurna
iman seseorang tanpa ilmu pengetahuan begitu juga tidak berperanan ilmu
secara hakikinya tanpa iman.
Bersama-sama
dengan kedatangan Islam di mana-mana sahaja, maka berkembanglah ilmu pengetahuan
dan pendidikannya. Di Melaka, sultannya yang pertama, Megat Iskandar Shah
1414 Masihi hingga sultan-sultan yang akhir sebelum tahun 1511 Masihi begitu
mengambil berat tentang perkembangan pelajaran dan pendidikan Islam. Di
Melaka bukan sahaja rumah-rumah, masjid dan surau berperanan sebagai pusat
pengajian Islam bahkan juga istana-istana sultan. Fungsi istana selain
dari tempat belajar dan bermuzakarah ianya berperanan sebagai perpustakaan,
tempat penterjemahan dan penyalinan buku-buku.
Golongan
raja-raja dan pembesar-pembesar bukan sahaja menggalakkan rakyat supaya
mencari serta mendalami ilmu pengetahuan Islam bahkan mereka sendiri melibatkan
diri dalam kegiatan tersebut secara yang bersungguh-sungguh. Kemajuan ilmu
pengetahuan bukan sekadar peringkat rendah bahkan sudah sampai ke peringkat
yang lebih tinggi. Ulama-ulama asing yang datang ke Melaka sejak awal hingga
kejatuhannya diberi kedudukan yang tinggi dalam hirarki sosial di Melaka
setaraf dengan pembesar dan pentadbir.
Rakyat
jelata digalakkan supaya belajar di mana-mana sahaja pusat pengajian ketika
itu dengan memberi penekanan intensif terhadap pengajian al-Quran dan asas
agama. Hasil dari kegiatan pengajian Islam yang dipelopori dan diawasi
oleh sultan-sultan bukan sahaja dapat menghapuskan buta huruf bahkan dapat
melahirkan tokoh-tokoh agama dari kalangan tempatan. Dikatakan Raja Alauddin
Riayat Shah (1477 - 1488 Masihi) sendiri adalah seorang ulama. Pengajian
Islam di Melaka sudah sampai ke tahap yang tinggi dan ianya bukan menjadi
peringkat pengajian yang semata-mata diletak ke bahu rakyat bahkan golongan
raja-raja dan pembesar sama-sama terlibat. Berpunca dari kemajuan ilmu
pengetahuan itulah menjadikan Melaka begitu kuat berpegang dengan ajaran
Islam di samping menjadi pusat penyibaran Islam yang terpenting di Asia
Tenggara ketika itu.
Agama
Islam menyebabkan lahir satu pendidikan yang teratur dan sistematik. Pendidikan
agama yang diajar di masjid dan surau dikembangkan menjadi pendidikan yang
lebih praktikal, yang dikenali sebagai sekolah pondok. Sistem pendidikan
pondok menjadi asas kepada masyarakat di Nusantara untuk melanjutkan pelajaran
ke Timur Tengah dalam pendidikan Islam.
Dengan
kejatuhan Melaka pada tahun 1511 Masihi, Acheh mengambilalih menjadi pusat
pengajian Islam yang dinamis di rantau ini. Kemajuan dan perkembangan pelajaran
dan pendidikan di Acheh merupakan satu kesinambungan yang diasaskan oleh
kerajaan Perlak dan Pasai sebelumnya. Para ulama dipandang tinggi sehingga
seseorang ulama boleh memangku jawatan sultan bila ia mangkat sebelum dilantiknya
sultan yang baru. Kedudukan ilmu pengetahuan begitu penting di Acheh, di
mana ia dijadikan syarat bagi seseorang calon untuk memegang sesuatu jawatan
dalam kerajaan. Selepas zaman kegemilangan Acheh, pelajaran dan pendidikan
Islam tersibar melalui pusat-pusat pengajian di Jawa, Riau, Banjar, Patani,
Kedah, Kelantan dan sebagainya.
e.
Pengaruh Islam dalam perundangan
Bagi
membuktikan pengaruh Islam dalam perundangan di Nusantara, undang-undang
di negeri Melaka boleh dijadikan sebagai contoh yang jelas kerana undang-undang
tersebut bukan sahaja dilaksanakan di negeri Melaka bahkan ianya berpengaruh
di seluruh negeri-negeri di Sumatera. Lebih-lebih lagi undang-undang tersebut
dapat diindoktrinasikan oleh kerajaan Islam Acheh yang bertanggungjawab
mengambilalih kuasa politik, perundangan dan pendidikan selepas kejatuhan
Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 Masihi.
Undang-undang
Melaka dijadikan undang-undang pemerintahan kerajaan tersebut terbahagi
kepada dua bahagian. Pertama, undang-undang negeri yang dikenali sebagai
Hukum Kanun Melaka atau Undang-undang Melaka, mengandungi undang-undang
jenayah, muamalah, keluarga, keterangan dan acara, syarat-syarat menjadi
raja serta tanggungjawab mereka dan pembesar-pembesar negeri terhadap pemerintahan.
Kedua ialah Undang-undang Laut Melaka yang mengandungi perkara-perkara
yang berhubung dengan peraturan pelayaran dan perniagaan, kesalahan jenayah
perdagangan serta bidang kuasa nakhoda kapal. Oleh kerana Hukum Kanun Melaka
adalah undang-undang induk yang meliputi undang-undang lain di dalam negeri
di samping pengaruhnya terhadap negeri-negeri Melayu di bawah empayarnya,
amatlah jelas ianya dijadikan contoh tentang wujudnya pengaruh Islam dalam
perundangan.
Undang-undang
Syariah telah diamalkan oleh kerajaan Islam. Undang-undang ini berkaitan
dengan jenayah dan hal-hal awam seperti perkahwinan, jual-beli dan pembahagian
harta pusaka. Terdapat peruntukan yang menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan
hendaklah dilangsungkan oleh orang-orang tertentu yang dilantik oleh Sultan.
Persetujuan wali adalah wajib dan dalam kes-kes yang tertentu Sultan boleh
bertindak sebagai wali.
Kesimpulan
Berdasarkan
tradisi sosial sebagaimana yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu, ternyata
agama Islam telah menjadi agama rasmi Melaka. Dalam sistem pemerintahan
pada masa itu jelas bahawa raja-raja telah melantik kadi sebagai penasihat
mereka berhubung dengan hal-ehwal agama.
Islam
merupakan cara hidup yang sempurna, mencakupi semua aspek kehidupan manusia.
Ini bermakna bahawa segala kegiatan politik, sosial, ekonomi, ideologi,
undang-undang, ketenteraan dan kepercayaan terarah sesuai dengan agama
Islam. Haluan politik kerajaan di Nusantara selepas kedatangan Islam adalah
berasaskan kepada ciri-ciri politik Islam. Sultan haruslah memerintah secara
adil, berasaskan kepada hukum Syariah yang berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.
Pengaruh
Islam menyebabkan lahirnya satu sikap di kalangan masyarakat Nusantara
iaitu pemberian sedekah. Setiap tahun, peratusan tertentu dari pendapatan
mereka disedekahkan kepada orang miskin. Kedatangan Islam juga telah melahirkan
ilmu pengetahuan yang memberi manfaat kepada masyarakat Melayu. Pendidikan
Islam merupakan proses yang berperanan membawa perubahan kepada sekalian
manusia yang membawa kepada kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat
yang berdasarkan al-Quran dan al-Hadis.
Bahan rujukan
1. Abdul Rahman Hj. Abdullah (1989). Islam dalam Sejarah Asia Tenggara
Tradisional. Penerbitan Pena Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.
2. Abdullah Ishak (1992). Islam Di Nusantara. Bahagian Hal Ehwal Islam,
Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur.
3. Dusuki Hj. Ahmad (1978). Ikhtisar Perkembangan Islam. DBP, Kuala
Lumpur.
4. M.A. Rauf (1987). Ikhtisar Sejarah Islam. Penerbit Fajar Bakti Sdn.
Bhd.
5. Siddiq Fadil (1993). Tradisi Kesultanan : Perspektif Islam. Institut
Kajian Dasar, Malaysia.
6. Sufian Taimon (1973). Intisari Sejarah: Asia Tenggara. DBP, Kuala
Lumpur.