Pengaruh Islam Dalam Sistem Kesultanan Di Alam Melayu

    Pengenalan      Tradisi Kesultanan dari perspektif Islam

    Kesimpulan     Pengaruh Islam yang berlaku di Nusantara

Pengenalan

         Sebuah kerajaan Melayu yang agung ialah kerajaan Melaka yang lahir dan berkembang selepas sahaja malapnya kekuasaan dan berakhirnya keagungan Majapahit di Tanah Jawa di akhir kurun ke 14. Dapatlah dikatakan bahawa di antara faktor penting yang menyebabkan cepatnya kepudaran kuasa Majapahit ialah disebabkan kepesatan perkembangan agama Islam di Melaka.
         Mengenai kemasukan Islam ke Tanah Melayu, para sejarahwan berpendapat bahawa Melaka merupakan negeri yang mula-mula di sebelah sini yang menerima agama Islam. Raja Melaka yang pertama iaitu Parameswara dikatakan telah memeluk agama Islam pada tahun 1414 Masihi. Menjelang waktu itu, Melaka telah menjadi pusat perdagangan di daerah itu. Pengislaman Raja Melaka merupakan hasil usaha pengembang-pengembang agama Islam yang datang bersama-sama dengan saudagar-saudagar Islam yang kaya raya dan mendapat sokongan Raja Pasai.
         Setelah diislamkan, Parameswara, iaitu pengasas kerajaan Melaka, menukarkan namanya menjadi Megat Iskandar Shah dan berkahwin dengan puteri Sultan Pasai. Tidak lama kemudian, Melaka pun menjadi pusat pengajian Islam dan kedaulatannya meluas ke beberapa bahagian Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Agama Islam turut berkembang dengan meluasnya kekuasaan Melaka. Raja Melaka mengutuskan pengembang-pengembang agama ke Jawa dan ke bahagian-bahagian lain Gugusan Pulau-pulau Melayu di sepanjang jalan perdagangan.
         Apabila Melaka menjadi koloni Portugis pada tahun 1511 Masihi, pimpinan agama Islam diambilalih oleh Acheh di Sumatera utara yang terus memperkembangnya di Sumatera dan di Semenanjung Tanah Melayu. Dari Acheh, agama Islam berkembang ke Ulakand dan dari sana ke Minangkabau.
 Islam menyebabkan timbulnya beberapa kesultanan yang berdaulat, dan kerjasama antara kesultanan-kesultanan ini sangat menggalakkan. Undang-undang kanun Shafie merupakan asas undang-undang bagi bangsa Melayu. Undang-undang mengenai hal-hal harta benda, perdagangan, tatatertib istana, perhambaan, perkahwinan dan penghukuman serta pendendaan kerana kesalahan, diterima sebagai undang-undang negara. Walau bagaimana besar sekalipun kekuasaan yang ada pada kadi-kadi atau pada guru agama, dalam hal-hal keduniaan dan politik, orang Indonesia terus menerima petunjuk dari adat dan mematuhi orang-orang yang memegang kuasa secara tradisional.
 

1. Tradisi Kesultanan dari perspektif Islam

a. Agama Islam dan kekebalan Raja
         Institusi kesultanan dalam konteks tradisi politik Melayu-Islam tidak harus dilihat sebagai pengekalan konsep dewaraja Hindu dengan segala unsur kesakitan, kekebalan, kemutlakan, kesewenang-wenangan dan keluarbiasaan kedewaannya. Sultan dalam tradisi politik Melayu bukan lagi jelmaan dewa yang mencipta dan mengatasi undang-undang. Sesungguhnya proses pengislaman telah memanusiakan raja dan menanggalkannya kepada undan-undang al-Quran dan al-Sunnah.
         Kesultanan adalah sebuah institusi keadilan. Kerana itulah setiap raja yang menaiki takhta harus bersumpah akan memerintah dengan seadil-adilnya sambil menjunjung al-Quran. Ertinya raja tidak mengatasi al-Quran dan segala hukum-hukumnya. Raja adalah pemegang amanah pelaksana keadilan. Islam telah memberikan martabat dan hak-hak keinsanan kepada rakyat Melayu. Sejak itu umat Melayu amat peka dengan nilai keadilan. Kerana itu dalam sejarah dan tradisi politik Melayu-Islam dari waktu ke waktu kita menyaksikan cetusan keprihatinan rakyat apabila istana gagal melaksanakan keadilan, gagal membela rakyat yang teraniaya, apa lagi jika istana sendiri sudah menjadi sarang penganiayaan.
         Institusi raja bukan suatu yang beku. Ia telah berubah dan harus terus berubah sesuai dengan keperluan zaman dan lingkungan. Demikian pula dengan Islamisasi yang pada hakikatnya adalah merupakan suatu proses yang berterusan. Mungkin masih ada sisa-sisa tradisi pra-Islam atau unsur-unsur tradisi politik Barat dalam institusi kesultanan kita yang memerlukan penerusan proses Islamisasi.

b. Raja dan etikanya dalam tradisi politik Melayu-Islam
         Islam dan revolusi budayanya telah membawa perubahan ideologikal yang cukup mendasar dalam ketatanegaraan Melayu. Dalam hubungan ini, konsep raja telah mengalami transformasi makna atau perubahan konseptual apabila istilah raja itu dirujuk dan dipadankan dengan peristilahan politik Islam seperti khalifah, sultan dan imam. Raja boleh diertikan sebagai khalifah yang membawa makna pengganti dan pelanjut pemerintahan nabawi yang berlandaskan al-Quran, al-Hadis dan al-Ijmak. Raja juga diertikan sebagai sultan yang membawa makna penguatkuasa keadilan hukum yang bersumberkan ajaran Allah dan RasulNya. Seterusnya, raja boleh diertikan sebagai imam yang membawa maksud kepemimpinan dan keteladanan.
         Dalam tradisi politik Melayu, kesultanan adalah merupakan institusi penegak keadilan. Setiap raja yang menaiki takhta diminta menyatakan komitmennya untuk memerintah dengan seadil-adilnya menerusi sumpah dengan nama Allah. Memang setia Melayu-Islam kepada rajanya adalah setia bersyarat, raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Raja dan rakyat mempunyai tanggungjawab yang timbal balik sebagaimana yang termetri dalam persefahaman rakyat tidak boleh derhaka, raja tidak boleh zalim.
 Al-Quran dan al-Sunnah yang merupakan sumber asasi sistem ketatanegaraan Islam juga tidak mengecualikan raja dari undang-undang. Dalam tradisi politik Melayu pula kita menemukan kes Putera Mahkota Acheh Darul Salam yang dihukum bunuh kerana kesalahan zina.
         Al-Quran dan al-Sunnah juga merupakan sumber etika kesultanan Melayu zaman tradisi. Tetapi apa yang digariskan oleh kedua-dua sumber tersebut pada asasnya adalah berupa prinsip-prinsip dan nilai-nilai dasar yang memerlukan pemerincian dalam konteks ruang dan waktu atau realiti zaman dan suasana setempat. Kerana itulah wujudnya amalan di kalangan khalifah-khalifah Islam meminta para ilmuwan zaman mereka merumuskan kod etika kekhalifahan dalam bentuk sejumlah nasihat yang perlu dipatuhi oleh para khalifah.
 Tidak dapat dinafikan adanya raja-raja dalam sejarah kesultanan kita yang membelakangkan etika, tetapi kejadian tersebut adalah merupakan suatu penyimpangan dan bukannya arus besar tradisi politik Melayu-Islam.

c. Raja - kepimpinan dan keteladanannya
         Raja dan pemimpin umat seluruhnya adalah ikutan dan teladan. Kerana itu, watak, peri laku dan gaya hidup raja serta para penguasa lainnya seharusnya menepati ciri-ciri kepemimpinan dan keteladanan berasaskan nilai-nilai agama dan budaya umat.
         Keilmuan adalah kriteria kepemimpinan yang sangat ditekankan oleh Islam. Memang pada zaman kegemilangan tamadun Islam keilmuan dan kepemimpinan tidak pernah terpisah. Para khalifah adalah tokoh-tokoh yang menepati kriteria pemimpin-ilmuwan. Lagi satu kriteria yang perlu ada pada raja ialah sifat penyayang. Sifat penyayang itulah yang menjadi penambat kasih sayang rakyat terhadap raja. Sekiranya raja bersifat kasar dan bengis, rakyat akan dilanda ketakutan dan ini akan mendorong mereka bersikap pura-pura, bermuka-muka dan hipokrit terhadap raja. Malah lebih buruk lagi mungkin mereka akan berlepas tangan ketika raja dalam bahaya atau kesulitan.
 Antara raja dan rakyat perlu wujud hubungan saling sayang-menyayangi. Untuk mewujudkan hubungan saling kasih-mengasihi, Nabi Muhammad s.a.w. mengingatkan pula tentang tanggungjawab raja terhadap rakyatnya. Dalam tradisi pra-Islam, rakyatlah yang harus mengabdi kepada raja. Kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek. Tetapi agama Islam telah mengubah tradisi tersebut dengan meletakkan tugas melayani rakyat di bahu raja. Kesedaran tentang tanggungjawab memberi khidmat kepada rakyat itu memang wujud di kalangan sebilangan raja zaman tradisi kesultanan Melayu.
         Sebagai penguasa yang datang dari umat, mereka adalah setaraf dengan umat dan sama-sama tertakluk kepada syariat. Ternyata rakyat di sepanjang sejarah meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap raja dan para penguasa. Mereka ingin mempunyai raja yang bersifat ‘philosopher-king’, raja-pendidik, raja-ilmuwan, raja berjiwa rakyat dan sebagainya.

d. Tradisi menasihati Raja
         Menasihati raja atau khalifah sebenarnya memang suatu amalan yang sudah menjadi sebahagian dari tradisi politik umat Islam. Amalan ini merupakan sejenis kawalan sosial yang menjadi faktor penting kekuatan dan ketertiban politik Islam. Tradisi menasihati raja atau penguasa dalam erti memberikan teguran dan saranan dapat ditelusuri sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi.
 Nasihat-nasihat kepada raja atau penguasa bukan hanya diberi, tetapi seringkali diminta oleh raja-raja itu sendiri. Yang selalu menjadi rujukan untuk mendapatkan nasihat ialah para ilmuwan yang berwibawa. Memang menurut Islam, kehidupan umat banyak ditentukan oleh kualiti dan peranan kedua golongan tersebut - para ilmuwan dan para penguasa.
         Para penguasa memang memerlukan nasihat dan bimbingan golongan ilmuwan yang jujur dan berwibawa. Tidak semua ilmuwan layak menjadi rujukan penguasa. Di sepanjang sejarah ada saja ilmuwan yang mengkhianati tanggungjawab moralnya, menyatakan yang benar walaupun pahit. Para penguasa dan raja-raja seharusnya menghindari pengaruh ilmuwan berkepentingan yang sanggup memberikan justifikasi-justifikasi keilmuan terhadap nafsu dan selera raja.
         Dalam tradisi kesultanan Melayu, memang wujud budaya menghargai nasihat dan bimbingan ilmuwan. Apabila nasihat sudah tidak dihormati, lalu raja memerintah dengan keserakahan nafsu, itulah petanda mendekatnya ajal kehancuran. Dalam sejarah kesultanan Melaka, nama Sultan Mahmud Shah dicatat sebagai raja yang menyimpang dari amalan mendengar dan menghormati nasihat. Baginda bertindak sewenang-wenang, merampas dan membunuh. Akibatnya kegemilangan Melaka mengalami gerhana.

e. Suara rakyat dan keterbukaan Raja
         Kebebasan bersuara yang diberikan oleh Islam adalah meliputi hak memprotes penyimpangan peri laku para penguasa. Para penguasa Islam sendiri rata-rata bersikap lapang dada terhadap kritik dan teguran. Malah sebenarnya kesediaan menerima teguran itu merupakan syarat yang standard dan baku dalam pelantikan imam atau raja dalam tradisi politik Islam.
         Penguasa dan rakyat adalah sama-sama manusia biasa yang mempunyai kelemahan masing-masing. Para penguasa harus melaksanakan tanggungjawabnya memimpin rakyat melakukan kemakrufan (kebaikan) dan menghindari kemungkaran. Demikian pula sebaliknya rakyat harus menasihati raja dan para penguasa lainnya.
 

2. Pengaruh Islam yang berlaku di Nusantara

         Kedatangan Islam ada membawa berbagai perubahan tetapi masih terdapat unsur-unsur tradisi atau fahaman-fahaman yang bercanggah dengan Islam. Situasi tersebut berlaku menurut keadaan yang wujud, di mana-mana wilayah yang kuat dipengaruhi oleh Islam, berlakulah perubahan yang ketara dalam berbagai aspek. Sebaliknya di wilayah-wilayah yang kuat dipengaruhi oleh kebudayaan Hindu-Buddha, pengaruh Islam dalam apa jua bidang pun kelihatan begitu kecil dan lemah.

a. Pengaruh Islam dalam bidang politik
         Dari segi politik, terdapat perubahan yang jelas bila wujudnya kerajaan Melayu-Islam yang berpunca dari gerakan dakwah Islamiah oleh mubaligh-mubaligh dan ulama-ulama yang datang ke rantau ini. Sebelum wujudnya pemerintahan yang bercorak Islam ianya didahului oleh penempatan atau perkumpulan orang-orang Islam yang menduduki di sesuatu daerah. Di Nusantara pertama kali terdapat masyarakat Islam yang dikenali sebagai Ta-Shih pada tahun 674 Masihi. Ta-Shih ialah suatu panggilan kepada orang-orang Arab di rantau ini, yang terdapat di pantai barat Sumatera dan di Jawa.
         Bagi menjamin keselamatan agama dan negara, kerajaan-kerajaan Islam terpaksa menjalinkan hubungan diplomatik dan persahabatan dengan kuasa-kuasa besar Islam ketika itu seperti kerajaan Turki. Dalam kerajaan Acheh terdapat sebuah jabatan bagi mengurus hubungan luar. Kerajaan Acheh memulakan perhubungan persahabatan dengan kerajaan Turki pada tahun 1516 Masihi. Menerusi hubungan tersebut Turki membekalkan alat-alat senjata dan penasihat-penasihat tentera kepada Acheh. Dengan itu, kerajaan tersebut dapat mengukuhkan pertahanannya terutama bagi menghadapi ancaman Portugis.
         Sebagai negara yang menerima ajaran Islam, unsur-unsur politik Islam yang berbentuk sejagat, saksama, adil, mengenal hak dan bertanggungjawab telah mempengaruhi masyarakat Nusantara. Konsep pendewaan kepada raja-raja sehingga ke tahap menyembah telah bertukar kepada konsep sultan atau kesultanan yang hanya sekadar memuliakannya sebagi seorang yang mempunyai kuasa pemerintah, sebagai ketua negara. Mereka adalah orang yang bertanggungjawab melaksanakan undang-undang, melakukan keadilan, menjaga keamanan, memelihara hak-hak serta kepentingan rakyat. Sultan merupakan ketua tertinggi bagi melindungi agama dan adat tetapi tidaklah dianggap sebagai peribadi yang paling suci seperti zaman Hindu. Bagaimanapun rata-rata masyarakat masih menganggap yang sultan itu mempunyai daulat, kedudukannya mengatasi undang-undang sehingga tidak boleh dikenakan sebarang hukuman.
         Agama Islam merupakan agama rasmi negara yang mendapat berbagai-bagai keistimewaan dan kemudahan sama ada dari segi penyibaran, pentadbiran dan perlaksanaan hukum-hukumnya. Selain dari undang-undang kekeluargaan Islam, perkara-perkara yang bersangkut dengan muamalah ada juga setengah daripada undang-undang jenayah Islam dilaksanakan walaupun secara yang kurang sempurna dan komprehensif. Di Melaka sebagai contoh terdapat perlaksanaan hukum zina dan mencuri secara Islam yang terdapat dalam peruntukan Hukum Kanun Melaka. Berpandu kepada situasi tersebut, kerajaan Melaka diaktakan sebagai sebuah kerajaan Islam dan juga menjadi sebuah empayar Islam di Asia Tenggara. Begitu juga denagn kerajaan Acheh yang berpengaruh selepasnya.
         Rata-rata struktur politik kerajaan Islam di Nusantara mengembelingkan tenaga seluruh rakyat bagi memperjuang dan mempertahankan ajaran Islam, negara dan umatnya. Justeru itu semangat jihad yang tidak mengenal lelah semata-mata untuk berbakti kepada Allah sama ada dalam bentuk fizikal (kekuatan tenaga dan senjata) mahupun mental (perang saraf) digerakkan pada sepanjang masa. Rakyat sentiasa digerak supaya kasih dan cintakan tanah air, kerana kecintaan kepada negara itu merupakan sebahagian daripada iman. Mereka juga ditiupkan dengan semangat kerjasama dan perpaduan dengan menganggap bahawa seluruh umat Islam itu adalah satu anggota (ummah wahidah). Akibat dari semangat tersebut, muncullah konsepsi bahawa seluruh umat Islam di dunia ini adalah bersaudara.

b. Pengaruh Islam dalam bidang sosial
         Walaupun tidak sepenuhnya unsur-unsur sosial Islam yang menyerap ke Nusantara dapat mempengaruhi masyarakat, namun sudah terdapat nilai-nilai persamaan taraf antara manusia, tidak wujud lagi sistem perhambaan dan amalan kasta yang membimbangkan. Komunikasi antara kelompok manusia dapat berjalan dengan sempurna, ianya dapat dijalin menerusi sifat hormat-menghormati, bergotong-royong dan bantu-membantu. Dalam Islam unsur-unsur tersebut amat ditekankan kerana ianya merupakan sebahagian daripada amal salih.
         Perubahan sosial juga berlaku dengan adanya revolusi mental yang diketengahkan oleh Islam dalam masyarakat di Nusantara. Semua ajaran Islam mengandungi unsur-unsur rasionalisme, di mana Islam telah menekankan konsep sama taraf antara manusia di sisi Allah. Semua manusia adalah berasal dari Adam a.s. dan Adam a.s. dijadikan dari tanah. Oleh itu yang maha berkuasa ialah Allah, Dialah yang menjadikan segala makluk, kemudian mematikan dan akhirnya dihidupkan semula, kepadaNya sahaja yang wajib disembah.
         Begitu juga Islam menonjolkan unsur-unsur metafizika yang berkaitan dengan rukun iman dan perkara-perkara yang berhubung dengan Sam’iyyat di samping unsur-unsur Hukum Syarak yang terdiri dari perkara-perkara wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Unsur-unsur tersebut amat mempengaruhi pemikiran mereka, oleh itu segala kerjaya dan tindak-tanduk mereka bukan semata-mata didorong oleh kesenangan duniawi tetapi juga untuk mendapat keredaan Allah dan pembalasan di akhirat. Dalam melakukan sesuatu pekerjaan mereka lakukan secara ikhlas dan bersungguh-sungguh di samping memperhitungkan sama ada ianya halal atau haram. Tegasnya semua kegiatan yang dilakukan sama ada dari aspek sosial, ekonomi, politik dan lain-lain adalah didasar oleh pemikiran dan petunjuk Islam.

c. Pengaruh Islam dalam bidang ekonomi
         Kedatangan Islam hanya memberi suatu kelanjutan terhadap kegiatan ekonomi yang sedia wujud atau sekurang-kurangnya memberi wajah baru atau konsep serta matlamat baru dalam aspek perdagangan dan ekonomi masyarakat Nusantara.
         Konsep ekonomi Islam bukanlah semata-mata kebendaan atau kekayaan yang menjadi matlamat akhir dari segala kegiatan ekonomi atau dengan lain perkataan bukanlah semata-mata bertujuan duniawi tetapi apa yang menjadi matlamat akhir ialah keredaan Allah. Oleh itu segala kegiatan ekonomi sentiasa dipengaruhi oleh hukum yang ditetapkan oleh syarak, sama ada halal atau haram. Justera itu mereka tidak diizinkan melakukan riba, merampas, penipuan dalam jual beli, monopoli perdagangan dan lain-lain. Bagi mendapat keredaan Allah dan kepentingan masyarakat umum, kekayaan yang didapati hendaklah dikeluarkan zakat dan digalakkan pula untuk berwakaf dan melakukan amal jariah. Itulah konsep dan matlamat akhir kebendaan dan kekayaan dalam Islam yang mempengaruhi masyarakat Nusantara.

d. Pengaruh Islam dalam bidang pendidikan
         Pengaruh Islam dalam semua bidang sama ada secara kukuh atau sederhana rasanya adalah berpunca dari kejayaan Islam itu sendiri dalam menyibarkan ilmu pengetahuan dan pendidikannya. Agama dan ilmu pengetahuan merupakan dua angkubah yang saling berkait dan pengaruh mempengaruhi, boleh diibaratkan sebagai roh dengan jasad bagi sesuatu badan. Tidak bergerak jasad tanpa roh begitu juga tidak berfungsi roh tanpa jasad. Dengan kata lain bahawa ilmu merupakan alat yang paling unggul dalam pengukuhan iman dan takwa, tidak sempurna iman seseorang tanpa ilmu pengetahuan begitu juga tidak berperanan ilmu secara hakikinya tanpa iman.
         Bersama-sama dengan kedatangan Islam di mana-mana sahaja, maka berkembanglah ilmu pengetahuan dan pendidikannya. Di Melaka, sultannya yang pertama, Megat Iskandar Shah 1414 Masihi hingga sultan-sultan yang akhir sebelum tahun 1511 Masihi begitu mengambil berat tentang perkembangan pelajaran dan pendidikan Islam. Di Melaka bukan sahaja rumah-rumah, masjid dan surau berperanan sebagai pusat pengajian Islam bahkan juga istana-istana sultan. Fungsi istana selain dari tempat belajar dan bermuzakarah ianya berperanan sebagai perpustakaan, tempat penterjemahan dan penyalinan buku-buku.
         Golongan raja-raja dan pembesar-pembesar bukan sahaja menggalakkan rakyat supaya mencari serta mendalami ilmu pengetahuan Islam bahkan mereka sendiri melibatkan diri dalam kegiatan tersebut secara yang bersungguh-sungguh. Kemajuan ilmu pengetahuan bukan sekadar peringkat rendah bahkan sudah sampai ke peringkat yang lebih tinggi. Ulama-ulama asing yang datang ke Melaka sejak awal hingga kejatuhannya diberi kedudukan yang tinggi dalam hirarki sosial di Melaka setaraf dengan pembesar dan pentadbir.
         Rakyat jelata digalakkan supaya belajar di mana-mana sahaja pusat pengajian ketika itu dengan memberi penekanan intensif terhadap pengajian al-Quran dan asas agama. Hasil dari kegiatan pengajian Islam yang dipelopori dan diawasi oleh sultan-sultan bukan sahaja dapat menghapuskan buta huruf bahkan dapat melahirkan tokoh-tokoh agama dari kalangan tempatan. Dikatakan Raja Alauddin Riayat Shah (1477 - 1488 Masihi) sendiri adalah seorang ulama. Pengajian Islam di Melaka sudah sampai ke tahap yang tinggi dan ianya bukan menjadi peringkat pengajian yang semata-mata diletak ke bahu rakyat bahkan golongan raja-raja dan pembesar sama-sama terlibat. Berpunca dari kemajuan ilmu pengetahuan itulah menjadikan Melaka begitu kuat berpegang dengan ajaran Islam di samping menjadi pusat penyibaran Islam yang terpenting di Asia Tenggara ketika itu.
         Agama Islam menyebabkan lahir satu pendidikan yang teratur dan sistematik. Pendidikan agama yang diajar di masjid dan surau dikembangkan menjadi pendidikan yang lebih praktikal, yang dikenali sebagai sekolah pondok. Sistem pendidikan pondok menjadi asas kepada masyarakat di Nusantara untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah dalam pendidikan Islam.
         Dengan kejatuhan Melaka pada tahun 1511 Masihi, Acheh mengambilalih menjadi pusat pengajian Islam yang dinamis di rantau ini. Kemajuan dan perkembangan pelajaran dan pendidikan di Acheh merupakan satu kesinambungan yang diasaskan oleh kerajaan Perlak dan Pasai sebelumnya. Para ulama dipandang tinggi sehingga seseorang ulama boleh memangku jawatan sultan bila ia mangkat sebelum dilantiknya sultan yang baru. Kedudukan ilmu pengetahuan begitu penting di Acheh, di mana ia dijadikan syarat bagi seseorang calon untuk memegang sesuatu jawatan dalam kerajaan. Selepas zaman kegemilangan Acheh, pelajaran dan pendidikan Islam tersibar melalui pusat-pusat pengajian di Jawa, Riau, Banjar, Patani, Kedah, Kelantan dan sebagainya.

e. Pengaruh Islam dalam perundangan
         Bagi membuktikan pengaruh Islam dalam perundangan di Nusantara, undang-undang di negeri Melaka boleh dijadikan sebagai contoh yang jelas kerana undang-undang tersebut bukan sahaja dilaksanakan di negeri Melaka bahkan ianya berpengaruh di seluruh negeri-negeri di Sumatera. Lebih-lebih lagi undang-undang tersebut dapat diindoktrinasikan oleh kerajaan Islam Acheh yang bertanggungjawab mengambilalih kuasa politik, perundangan dan pendidikan selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 Masihi.
         Undang-undang Melaka dijadikan undang-undang pemerintahan kerajaan tersebut terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, undang-undang negeri yang dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka atau Undang-undang Melaka, mengandungi undang-undang jenayah, muamalah, keluarga, keterangan dan acara, syarat-syarat menjadi raja serta tanggungjawab mereka dan pembesar-pembesar negeri terhadap pemerintahan. Kedua ialah Undang-undang Laut Melaka yang mengandungi perkara-perkara yang berhubung dengan peraturan pelayaran dan perniagaan, kesalahan jenayah perdagangan serta bidang kuasa nakhoda kapal. Oleh kerana Hukum Kanun Melaka adalah undang-undang induk yang meliputi undang-undang lain di dalam negeri di samping pengaruhnya terhadap negeri-negeri Melayu di bawah empayarnya, amatlah jelas ianya dijadikan contoh tentang wujudnya pengaruh Islam dalam perundangan.
         Undang-undang Syariah telah diamalkan oleh kerajaan Islam. Undang-undang ini berkaitan dengan jenayah dan hal-hal awam seperti perkahwinan, jual-beli dan pembahagian harta pusaka. Terdapat peruntukan yang menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan hendaklah dilangsungkan oleh orang-orang tertentu yang dilantik oleh Sultan. Persetujuan wali adalah wajib dan dalam kes-kes yang tertentu Sultan boleh bertindak sebagai wali.
 

Kesimpulan
 
        Berdasarkan tradisi sosial sebagaimana yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu, ternyata agama Islam telah menjadi agama rasmi Melaka. Dalam sistem pemerintahan pada masa itu jelas bahawa raja-raja telah melantik kadi sebagai penasihat mereka berhubung dengan hal-ehwal agama.
         Islam merupakan cara hidup yang sempurna, mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa segala kegiatan politik, sosial, ekonomi, ideologi, undang-undang, ketenteraan dan kepercayaan terarah sesuai dengan agama Islam. Haluan politik kerajaan di Nusantara selepas kedatangan Islam adalah berasaskan kepada ciri-ciri politik Islam. Sultan haruslah memerintah secara adil, berasaskan kepada hukum Syariah yang berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.
         Pengaruh Islam menyebabkan lahirnya satu sikap di kalangan masyarakat Nusantara iaitu pemberian sedekah. Setiap tahun, peratusan tertentu dari pendapatan mereka disedekahkan kepada orang miskin. Kedatangan Islam juga telah melahirkan ilmu pengetahuan yang memberi manfaat kepada masyarakat Melayu. Pendidikan Islam merupakan proses yang berperanan membawa perubahan kepada sekalian manusia yang membawa kepada kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat yang berdasarkan al-Quran dan al-Hadis.
 


 

Bahan rujukan

1. Abdul Rahman Hj. Abdullah (1989). Islam dalam Sejarah Asia Tenggara Tradisional. Penerbitan Pena Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.
2. Abdullah Ishak (1992). Islam Di Nusantara. Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur.
3. Dusuki Hj. Ahmad (1978). Ikhtisar Perkembangan Islam. DBP, Kuala Lumpur.
4. M.A. Rauf (1987). Ikhtisar Sejarah Islam. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
5. Siddiq Fadil (1993). Tradisi Kesultanan : Perspektif Islam. Institut Kajian Dasar, Malaysia.
6. Sufian Taimon (1973). Intisari Sejarah: Asia Tenggara. DBP, Kuala Lumpur.