KONSEP DAN PERANAN PUSAT SUMBER PENDIDIKAN NEGERI 

    Pengenalan
    Definisi Pusat Sumber Pendidikan Negeri
    Konsep Pusat Sumber Pendidikan Negeri
    Merealisasikan konsep PSPN
    Peranan Pusat Sumber Pendidikan Negeri
    Kesimpulan
 
 

1. Pengenalan

         Tahun 1988 merupakan tahun yang penuh cabaran bagi Unit Perkhidmatan Perpustakaan Sekolah. Unit ini telah berpindah dari bahagian sekolah-sekolah ke Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) sebagai seksyen Pusat Sumber Teknologi Pendidikan. Matlamatnya ialah untuk memajukan perkhidmatan pusat sumber sekolah sebagai khidmat yang bersepadu dan berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran, selaras dengan usaha meninggikan mutu pendidikan yang menekankan penerapan teknologi pendidikan, mempertingkatkan pembacaan dan tabiat membaca yang berterusan, selaras dengan konsep pendidikan sepanjang hayat dan pemupukan budaya ilmu. Unit ini telah berusaha memajukan projek-projek dan kursus-kursus untuk guru pusat sumber dan para guru, seperti mengadakan aktiviti Khemah Membaca dan Kuiz Pengetahuan peringkat kebangsaan, serta seminar-seminar atau bengkel-bengkel tentang pengurusan pusat sumber dan penggunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan KBSR dan KBSM.

         Untuk meningkatkan lagi keberkesanan sistem pendidikan, Kementerian Pendidikan telah mampu membekalkan kemudahan-kemudahan asas dalam bentuk fizikal, koleksi, dan perkhidmatan ikhtisas kepada pusat sumber melalui peruntukan pembangunan tempatan dengan menggunakan Pinjaman Bank Dunia Ke 8. Satu usaha untuk mendesentralisasikan konsep asas proses pengajaran dan pembelajaran telah diwujudkan di peringkat negeri, daerah dan sekolah. Tujuannya ialah memaksimumkan kesan dan hasil pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan pusat sumber oleh para guru dan pelajar. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah memikirkan langkah-langkah bagi memaksimumkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran serta bagi meningkatkan perkhidmatan pendidikan dengan :

a. menubuhkan Pusat Sumber Sekolah di setiap sekolah rendah dan menengah, Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) dan Pusat Kegiatan Guru (PKG) di seluruh Malaysia.

b. meningkatkan keikhtisasan para guru pada taraf yang diperlukan dengan menjalankan kursus-kursus seperti bengkel dan seminar serta memberi bantuan dan khidmat sumber pendidikan melalui bahan dan tenaga.

 
 
2. Definisi Pusat Sumber Pendidikan Negeri

         Penubuhan Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) pada tahun 1982 merupakan satu langkah yang amat menggalakkan dalam usaha kerajaan mengutamakan perubahan dan pembaharuan memperbaiki mutu pendidikan, khususnya di luar bandar. Pusat Sumber Pendidikan Negeri merupakan projek perintis untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan nilai para guru.

        Faridah Abdul Manaff & T. Subahan Mohd. Meerah (1993) telah memberi beberapa takrif untuk Pusat Sumber Pendidikan Negeri :

 ‘PSPN merupakan sebuah organisasi yang membudayakan teknologi pendidikan untuk menyepadukan nilai-nilai budaya dengan amalan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan sumber-sumber pendidikan dalam usaha untuk mencapai hasil pendidikan yang dihargai oleh masyarakat.

 ‘PSPN bertujuan menjadi sebuah institusi ikhtisas yang boleh memberi pelbagai kemudahan perkhidmatan kepada guru untuk menambahkan kecekapan ikhtisas serta mengubah sikap guru.

PSPN mempunyai sifat berdikari dan berkembang dengan daya usaha sendiri serta mempunyai fleksibiliti merencanakan aktiviti-aktivitinya tanpa terlalu terkongkong dengan birokrasi. Semua penyelesaian di antara PSPN dengan guru-guru adalah berupa hasil daripada perundingan, perbincangan dan persetujuan bersama antara guru-guru dan kakitangan PSPN dalam suasana kerjasama, mesra dan muhibah.

         Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) merupakan sebuah organisasi untuk guru dan oleh guru, iaitu daya usaha guru digalakkan dan daya usaha diberikan kepada guru. Pusat ini ditubuhkan pada tahun 1982 dan khusus dijadikan sebagai :

a. tempat para guru (dengan bimbingan pakar-pakar pusat sumber sama-sama merencana) membina dan menghasilkan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran,
 
b. tempat para guru menerima segala bantuan dan latihan dalam perkhidmatan bagi meningkatkan kecekapan profesionalisme perguruan,  dan

c. tempat para guru menggunakan dapatan-dapatan penyelidikan bagi memenuhi keperluan pendidikan yang semakin bertambah.
 
 

 
3. Konsep Pusat Sumber Pendidikan Negeri

         Perkataan ‘pusat’ ialah tempat yang menjadi tumpuan khazanah ilmu pengetahuan atau maklumat di dalam bentuk buku dan bukan buku. Kamus Dewan pula mengertikan ‘perpustakaan’ sebagai bangunan atau bilik yang mengumpul atau menyimpan buku-buku untuk digunakan. Sementara ‘sumber’ pula bererti sebagai asal, mula atau punca. Dalam ertikata yang lebih luas lagi, ‘sumber’ ialah segala punca bagi memperolehi sesuatu maklumat atau pengetahuan. Dengan itu, Pusat Sumber Pendidikan Negeri ialah suatu tempat yang mengandungi koleksi berbagai bahan dan alat yang digunakan untuk segala kegiatan yang bermaksud untuk mempertinggikan taraf profesionalisme keguruan di peringkat negeri. PSPN lebih menggambarkan pusat sumber yang digunakan oleh sekolah-sekolah di dalam sesuatu negeri. Konsep PSPN wujud selepas konsep Pusat Sumber Sekolah (PSS). Di Malaysia, PSPN wujud dalam tahun 1982 apabila projek ini dimulakan dengan pembiayaan Bank Dunia dan Kementerian Pendidikan.

         Konsep Pusat Sumber Pendidikan Negeri adalah seiring dengan konsep desentralisasi Jabatan Pendidikan Negeri yang diberi lebih autonomi untuk mencapai kemajuan pendidikan. Autonomi profesional ini dianggap akan menghasilkan pendidikan yang lebih bermutu. Konsep desentralisasi yang berkait dengan PSPN sejajar juga dengan konsep dan prinsip profesionalisme yang antaranya mengutamakan pelanggan atau pelajar.

        Dengan pembiayaan projek PSPN ini oleh Bank Dunia, konsep Pusat Sumber Pendidikan Negeri telah dilaksanakan di empat buah negeri, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Keempat-empat buah negeri tersebut telah diberi keutamaan kerana dijangka dengan adanya PSPN, pencapaian peperiksaan akan meningkat.

         Pusat Sumber ialah istilah yasng diberikan kepada integrasi antara perpustakaan buku dengan perkhidmatan pandang-dengar, menjadi sebagai satu unit yang bersepadu. Daripada segi yang lain, pusat sumber ialah satu organisasi yang bertugas mengumpul, memilih, menyusun dan menyebarkan alat-alat dan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran sama ada dalam bentuk buku atau bukan buku dengan cara yang aktif dan berkesan.

         Adalah penting kedua-dua perkhidmatan ini disepadukan disebabkan oleh perkara-perkara yang berikut:

i. Seperti buku, alat dan bahan pandang-dengar adalah media komunikasi untuk menyampaikan maklumat pendidikan. Apa yang tercatat di dalam buku boleh dipindahkan dalam bentuk yang lain seperti rakaman kaset, slaid, gambar bersiri dan sebagainya. Ertinya, kedua-dua buku dan alat dan bahan pandang-dengar mempunyai peranan dan tugas yang sama dan saling melengkapi.

ii. Pusat Sumber yang bersepadu memungkinkan lebih banyak jenis bahan dapat disediakan, dan ini akan menambahkan kesan di dalam usaha meninggikan taraf pencapaian pengajaran dan pembelajaran.

iii. Pusat Sumber yang bersepadu akan mengelakkan berlakunya duplikasi daripada segi kewangan, masa, tenaga, kakitangan, perkhidmatan dan ruang. Ini dengan sendirinya mengelakkan pembaziran dan kurang keberkesanan.

iv. Pengalaman dan pengetahuan dapat disebarkan dengan lebih meluas lagi melalui pusat sumber kerana sistem pengelasan dan pengkatalogan buku yang sedia ada boleh digunakan juga untuk memproses koleksi alat dan bahan pandang-dengar.

v. Selaras dengan perkembangan baharu di dalam bidang pendidikan yang bersepadu, terutama dalam usaha ke arah pembinaan masyarakat yang progresif yang berorientasikan sains dan teknologi.

vi. Kesepaduan perkhidmatan bahan cetakan dan bukan cetakan bertambah perlu apabila kesepaduan pengurusan telah dijalankan di Jabatan Pendidikan Negeri (Unit Teknologi Pendidikan) dan di peringkat Kementerian (Bahagian Teknologi Pendidikan) sejak tahun 1984.

         Konsep PSPN lebih bermakna jika dilihat daripada empat fungsi utama sesebuah pusat sumber, seperti berikut:
 

    Pengumpulan Maklumat

         Mengumpulkan maklumat adalah merupakan peringkat awal dalam proses penubuhan dan perkembangan pusat sumber. Tanpa pengumpulan maklumat, segala kegiatan yang berkait dengan fungsi-fungsi lain tidak boleh berlaku. Pentingnya fungsi ini bertambah apabila kita menerima pendapat yang mengatakan bahawa sekiranya berlaku sebarang kesilapan di peringkat membuat keputusan dalam pengumpulan maklumat, maka kesemuanya akan menjadi tidak sempurna.

         Pengumpulan maklumat ini termasuklah tugas memilih, menilai dan membeli alat dan bahan yang ada dalam pasaran. Ia meliputi usaha memilih dan menilai segala bahan dan alat mengajar yang disediakan oleh guru-guru. Setelah dikumpulkan, satu pertimbangan perlulah dibuat bagi menentukan sama ada yang terkumpul itu boleh digunakan. Pengumpulan perlu ditapis buang apabila perlu. Walaupun cara membina koleksi dengan membeli lebih senang daripada guru membuatnya sendiri, tetapi pembeli atau pengguna selalu terperangkap daripada segi harga dan kesesuaian. Perkara yang juga perlu diawasi semasa membeli alat dan bahan ialah kekerapan kegunaannya serta keahlian (kepakaran) pengendalian.

         Pegawai perolehan atau dokumentasi di PSPN bertugas mengumpul alat yang siap. Untuk membuat pemilihan buku dengan lebih tepat, pegawai tersebut boleh meminta pendapat guru supaya pengguna sendiri terlibat dalam proses pembinaan koleksi maklumat.
 

    Pengeluaran Maklumat

         Perkara yang sebaik-baiknya dilakukan dalam usaha pengeluaran maklumat ialah membuatnya sendiri, kerana ianya lebih sesuai dengan kehendak dan keperluan pengguna. Perlu diambil perhatian bahawa kawasan pengeluaran bukanlah kawasan untuk tujuan simpanan atau stor. Ini bererti bahawa setelah sesuatu kerja pengeluaran itu disiapkan, alat dan bahan itu mesti dengan secepat mungkin dikeluarkan ke kawasan pameran. Selagi alat dan bahan itu masih tinggal di kawasan pengeluaran atau kawasan penyusunan, maka penggunaannya tidak ada.

         Fungsi mengeluarkan maklumat seperti majalah, makalah, kaset audio dan bahan-bahan lain sangat diperlukan kerana penghasilan bahan pendidikan di pasaran sangat terhad. Sepatutnya, guru sendiri yang menghasilkan bahan cetakan atau bukan cetakan untuk murid kerana merekalah yang lebih mengetahui kehendak murid mereka. Untuk mencapai tujuan tersebut, bengkel penghasilan maklumat pendidikan perlu lebih giat dijalankan oleh PSPN.
 

    Penyusunan Maklumat

         Setelah ditetapkan perolehan sesuatu alat dan bahan, maka sampailah kepada peringkat untuk alat dan bahan yang tidak tersusun itu diproses supaya ianya boleh digunakan dengan cara yang cepat, mudah dan berkesan. Kerana itu, kerja-kerja penyusunan memerlukan suatu sistem yang membolehkan alat dan bahan itu disusun mengikut cara yang mudah difahami dan digunakan. Faktor ini akan membantu ke arah keberkesanan penggunaan alat dan bahan yang tersebut, dengan mengambil kira faktor kekerapan penggunaannya.

         Di Malaysia, semua pusat sumber telah diberikan panduan dan arahan supaya menggunakan Sistem Perpuluhan Dewey dalam menyusun bahan dan alat sumber. Walaupun ia lebih berbentuk kerja yang berulang, jarang memerlukan kepakaran dan tidak berkait dengan sebarang tindakan membuat keputusan. Sistem penyusunan yang digunakan hendaklah diikuti secara terus-menerus untuk tempoh yang lebih lama. Ini penting supaya apabila sesuatu perubahan berlaku dalam sistem penyusunan ini, perubahan ini tidak seharusnya boleh menjejaskan penggunaan.

         PSPN perlu menyusun atau menyediakan maklumatnya untuk digunakan oleh penggunanya. Sistem penyusunan maklumat yang diamalkan di PSS, PKG dan PSPN sangat perlu diselaraskan supaya ada keseragaman dan ini boleh meningkatkan penggunaannya.
 

    Penggunaan / Penyebaran  Maklumat

         Ini merupakan peringkat akhir dalam fungsi sesebuah pusat sumber. Di peringkat inilah pengguna PSPN tahu alat dan bahan yang ada melalui kad-kad katalog yang telah disediakan dan disusun mengikut sistem yang tertentu. PSPN memberikan perkhidmatan terutama dalam bentuk:

a. Memberikan kemudahan dan perkhidmatan pinjaman alat dan bahan di luar atau di dalam pusat sumber.

b. Menyediakan bahan-bahan rujukan.

c. Menyediakan perkhidmatan nasihat.
 
 

4. Merealisasikan konsep PSPN

         Perlaksanaan konsep PSPN tidak semata-mata memerlukan beberapa pakar tertentu bagi membantu pencapaian realiti, seperti pakar media, pakar kurikulum, pakar perancangan, pakar penilaian, pakar teori pendidikan dan sebagainya, tetapi juga merupakan satu inovasi yang radikal. Walaupun begitu, perubahan juga boleh dibuat secara evolusi (ubah-ansur). Dalam keadaan demikian, pelaksanaannya kurang menimbulkan masalah kerana perubahan secara ini tidak banyak menyebabkan berlaku pergeseran.

         Daripada segi konsep juga, PSPN adalah merupakan tempat di mana semua maklumat dikumpul, disusun dan disebarkan. Ketiga-tiga aspek ini dijalankan secara disepadukan (integrated) bagi menghasilkan konsep secara menyeluruh. Daripada segi penyusunan maklumat, ia sepatutnya mempunyai semua maklumat yang perlu disusun dengan suatu cara yang mudah dan berkesan supaya dapat digunakan dengan sempurna oleh pengguna.

         Konsep PSPN dibentuk atas satu dasar bahawa pendidikan formal tidak mampu dilakukan oleh seorang atau berdua sahaja sekiranya berkehendakkan hasil yang dicapainya itu berada di peringkat yang tinggi. Pendekatan secara bersama atau berpasukan adalah menjadi asas kepada konsep ini. Sekiranya tidak dapat diwujudkan satu infrastruktur sedemikian rupa di peringkat negeri, maka konsep PSPN sukar hendak dijelmakan dalam keadaan yang sempurna.

         Konsep PSPN juga melibatkan integrasi, bukan sahaja alat dan bahan, tetapi juga idea, kaedah, dan keseluruhan tenaga yang ada di sekolah dan di Pusat Kegiatan Guru. Untuk menimbulkan suatu suasana integrasi yang sihat memerlukan perancangan. Perancangan dan pelaksanaan dijalankan dalam masa yang lama, dan dalam jangka masa yang sedemikian rupa, perubahan masa bererti perubahan idea, pimpinan, alat, bahan, kaedah dan sebagainya. Kesemua perubahan ini menyebabkan tafsiran terhadap PSPN termasuk juga konsepnya berubah mengikut kehendak pengguna dan masa.

         Konsep PSPN dalam erti kata yang luas, meliputi segala aspek yang menyentuh tentang proses pengajaran dan pembelajaran. Secara tidak disedari, konsep ini sebenarnya telah kita jadikan sebagai realiti apabila guru-guru menyediakan dan menggunakan berbagai alat mengajar seperti carta, peta, gambar, dan sebagainya, merancang skim pelajaran, menulis ringkasan mengajar yang lengkap walaupun tidak meluas, menjalankan penilaian di peringkat bilik darjah, dan lain-lain lagi.

         Usaha merealisasikan konsep PSPN boleh dikatakan sama besar cabarannya seperti di peringkat sekolah. Mungkin cabarannya lebih besar kerana pengerusi PSPN tidak boleh mengawal, memerintah atau mempengaruhi ahli-ahlinya (Guru Besar / Pengetua sekolah). Sikap rakan setaraf antara semua ahli perlu wujud dan kedudukan atau taraf jawatan tidak boleh ditonjolkan kerana konsep dan pengurusan PSPN berpegang teguh kepada konsep profesionalisme. Masalah atau cabaran yang dihadapi dalam PSPN menyebabkan tugas menyelaras perkhidmatan lebih sukar dijalankan. Walau bagaimana pun, masalah dan cabaran ini dapat diatasi jika diwujudkan semangat kerjasama dan saling bertanggungjawab.

         Selain pengurusan penyelarasan perkhidmatan, cabaran yang tidak boleh dikatakan kecil ialah agihan atau sebaran bekalan alatan serta perkhidmatan. Sistem pinjam-meminjam yang berkesan perlu diwujudkan di samping mewujudkan aktiviti memberi khidmat nasihat (konsultasi). Untuk menjayakan aktiviti khidmat nasihat, kakitangan yang pakar di PSPN perlu ada dan sanggup memberi khidmat yang lebih berbentuk sukarela. Kekurangan semangat atau jiwa sukarela dan mengutamakan profesion keguruan ini telah banyak memberi kesan negatif kepada tahap penggunaan PSPN iaitu kemudahan-kemudahan tersebut tidak digunakan dengan sepenuhnya. Perkhidmatan di PSPN perlu diperluaskan dari lebih berbentuk menyediakan tempat untuk berkursus, untuk penggunaan bahan dan alatan secara maksimum. Guru perlu lebih kerap menggunakan alatan, bahan dan kepakaran yang ada di PSPN khasnya, kerana PSPN dibina dengan tujuan menjadi pusat bagi guru berinteraksi sesama mereka dengan kepakaran di PSPN. Program penghasilan bahan prototaip dan pinjaman perlu lebih banyak diadakan supaya PSPN dapat hidup sebagai bengkel bagi pengeluaran bahan mengajar.
 

 
5. Peranan Pusat Sumber Pendidikan Negeri
 

Pusat Sumber Pendidikan Negeri berperanan sebagai :

a. pusat sumber yang memberi dan menyediakan sumber-sumber pendidikan, seperti bahan-bahan rujukan dalam bentuk bercetak dan elektronik, iaitu untuk kegunaan pinjaman para guru, serta memberi khidmat nasihat, kepakaran dan segala kemudahan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Contohnya, mereka menyediakan, mengubah suai dan menggunakan sumber-sumber pengajaran dan pembelajaran dan alatan,

b. pusat perkembangan kurikulum untuk meningkatkan kemahiran mengajar dan belajar melalui projek-projek khas serta untuk mengenal pasti halangan-halangan pengajaran dan pembelajaran bagi membolehkan guru-guru mengatasinya. Antara projek-projek khas yang pernah dijalankan ialah Projek Bacaan Sepadu Sekolah Rendah.

c. pusat kursus dalam perkhidmatan yang berasaskan kajian pegawai-pegawai Pusat Sumber Pendidikan Negeri di bilik-bilik darjah, perbincangan dan permohonan daripada guru-guru,

d. pusat sosial dan rekreasi iaitu tempat yang membolehkan para guru berkomunikasi dan bertukar-tukar idea, dan

e. pusat rujukan untuk mendapatkan maklumat bahan, tenaga, dan contoh serta sebagai direktori pakar-pakar tertentu.
 

         Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) banyak menyediakan bahan sumber pendidikan dalam bentuk rancangan-rancangan yang disiarkan menerusi Televisyen Pendidikan dan Radio Pendidikan, serta bahan-bahan dan alat-alat pandang dengar dalam usaha untuk mencapai hasrat murni membudayakan teknologi pendidikan. Bahagian ini mendapat kerjasama MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran) yang memberikan cadangan-cadangan bagi memperkukuhkan lagi organisasinya. Hasilnya, tertubuhlah Unit Penyelidikan yang menjalankan tugas-tugas penyelidikan, khususnya yang berkaitan dengan penerbitan dan penggunaan bahan-bahan pendidikan terbitan Bahagian Teknologi Pendidikan. Ini adalah untuk membantu para guru menjalani aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti. Bahagian-bahagian Kementerian Pendidikan, seperti Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Pusat Perkembangan Kurikulum (PKK), telah banyak mengusahakan kursus-kursus dalam perkhidmatan untuk para guru, guru pusat sumber, penyelaras Pusat Kegiatan Guru dan pegawai-pegawai Pusat Sumber Pendidikan Negeri tentang perkembangan, pengurusan dan penggunaan pusat sumber dalam proses pendidikan. Pinjaman berjuta-juta ringgit daripada Bank Dunia telah membolehkan kerajaan merencana dan melaksanakan konsep pengajaran dan pembelajaran melalui rangkaian pusat sumber yang sedang berjalan lancar.

         Seperti yang telah diterangkan di atas, PSPN memberikan perkhidmatan terutama dalam bentuk:

a. Memberikan kemudahan dan perkhidmatan pinjaman alat dan bahan di luar atau di dalam pusat sumber.

         PSPN hendaklah mendapat alat-alat dan bahan-bahan dari berbagai sumber yang ada. Ia perlu merancang dan mengeluarkan alat dan bahan bagi mencapai sesuatu objektif tertentu untuk digunakan oleh para guru. Ia juga perlu menyediakan kemudahan ruang atau kawasan bagi membolehkan para guru menggunakannya untuk berbagai aktiviti keperluan kurikulum.

b. Menyediakan bahan-bahan rujukan.

         Bahan-bahan rujukan perlu dikemaskinikan supaya para guru dapat banyak manfaat di mana bahan itu tidak diperoleh di sekolah masing-masing. Bahan rujukan berupa buku akademik atau pengetahuan yang mahal perlu ada di PSPN untuk dirujuk atau dipinjam sebab Pusat Sumber Sekolah tidak mampu membelinya.

c. Menyediakan perkhidmatan nasihat.

         Nasihat dalam berbagai perkara mengenai pengajaran dan pembelajaran perlu sedia ada. Oleh itu, PSPN perlu ada pegawai yang berkaliber untuk menyelesaikan berbagai-bagai masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran para guru. Pegawai PSPN juga perlu memberi kursus yang berkaitan dengan pendidikan dari semasa ke semasa.

 
 
6. Kesimpulan

         Pusat Sumber Pendidikan Negeri hanya boleh menjadi fasilatator supaya pertukaran kemahiran dan nilai di kalangan pendidik berlaku, tetapi kejayaan para guru di dalam profesionnya hanya akan bermula apabila mereka betul-betul berubah sikap mengikut keperluan semasa. Seseorang guru harus mempunyai sikap yang positif bahawa PSPN ini boleh membantu ke arah meningkatkan lagi kesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

         Pihak PSPN perlulah menggalakkan para guru pergi ke PSPN untuk membaca atau meminjam dan menggunakan bahan-bahan buku yang bersesuaian dengan keperluannya. Pihak PSPN juga perlu mengadakan kursus pengurusan pusat sumber dan penggunaannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan terutamanya kepada guru-guru Pusat Sumber Sekolah dan penyelaras-penyelaras PKG. Peserta-peserta kursus tersebut kemudian memberi latihan dalaman kepada para guru di sekolah atau zonnya masing-masing. Para guru hendaklah dibantu agar mempunyai kemampuan atau kecekapan menggunakan bahan sumber pendidikan atau maklumat dalam pelbagai format serta dibantu mengajar.
 
         Diharap dengan program PSPN dari semasa ke semasa, akan merangsang dan mendorong proses pengajaran dan pembelajaran agar menghasilkan kesan yang dikehendaki dalam zaman perubahan dan inovasi pendidikan ini.
 

Bahan Rujukan

1. Faridah Abdul Manaff & T. Subahan Mohd. Meerah (1993). Strategi Pusat Sumber Dalam Pendidikan. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.
2. Abdul Rahim Selamat & Ismail Hj. Adnan (1990). Pusat Sumber Pendidikan Negeri, Daerah dan Sekolah. Nurin Enterprise, Kuala Lumpur.
3. Halimah Badioze Zaman (1993). Pusat Sumber Sekolah Perancangan dan Rekabentuk. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.