MULTIMEDIA DALAM PENDIDIKAN

       Pengenalan
       Definisi Multimedia
       Sejarah Perkembangan Komputer Multimedia
       Spesifikasi Komputer Multimedia Terkini
       Penggunaan Multimedia Dalam Pendidikan
       Kelebihan Penggunaan Multimedia Dalam Pendidikan
       Ciri-ciri Yang Perlu Ada Dalam Perisian Kursus Multimedia Dalam Pendidikan
       Multimedia Dalam Internet
       Cabaran Multimedia Masa Hadapan
       Penutup

Pengenalan

         Multimedia ialah satu perkataan yang sering kita dengar pada masa sekarang apabila kita memperkatakan tentang komputer, lebih-lebih lagi komputer dalam pendidikan. Sebenarnya, multimedia sudah lama digunakan dengan meluasnya dalam pendidikan, cuma istilah ‘multimedia’ tidak wujud sehingga beberapa tahun ini. Pada hakikatnya, teks, grafik, bunyi dan video sudah lama digunakan untuk mempersembahkan sesuatu konsep atau topik dalam sesuatu mata pelajaran. Sehingga awal tahun 90an umpamanya, video dan cakera laser masih luas dipergunakan di sekolah-sekolah di Amerika Syarikat. Keadaan semakin berubah dalam dua tiga tahun ini di mana komputer menjadi semakin canggih dan sistem komputer itu dikatakan tidak lengkap tanpa pemacu cakera padat (pemacu CD-ROM).
         Di dalam dunia teknologi maklumat pada masa sekarang di mana kita sering dihujani dengan maklumat yang begitu banyak, adalah amat penting bagi kita untuk menguruskan maklumat-maklumat ini supaya ianya memberi makna kepada kita. Jika tidak, maklumat ini tidak dapat digunakan untuk kebaikan kita dan tidak dapat memberi apa-apa manfaat kepada kita. Kita yang berada dalam dunia pendidikan perlulah melihat kepada penggunaan teknologi yang canggih dalam membentukkan sistem yang dapat membantu kita dalam memberi pengetahuan yang berguna kepada para pelajar kita.
         Dalam era multimedia ini, adalah lebih penting bagi kita untuk melihat kepada cara-cara penggunaan multimedia untuk bukan sahaja memberi pengetahuan yang lebih tetapi juga untuk menggerakkan minda pelajar supaya tercetusnya idea-idea baru yang akan memberi pengetahuan baru kepada mereka. Untuk menggunakan teknologi bagi tujuan-tujuan pendidikan dan latihan, amatlah penting bagi kita untuk memisahkan alat, iaitu sistem multimedia, dari kaedah persembahan maklumat yang terdapat pada sistem tersebut, iaitu hipermedia. Sesungguhnya kewujudan sistem yang canggih tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa jika ianya tidak menggunakan kaedah yang betul untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada penggunanya.
 

Definisi Multimedia

         Istilah ‘multimedia’ digunakan dalam banyak perkara, seperti Sistem Maklumat Multimedia, komputer multimedia, perisian multimedia dan lain-lain lagi.

         Menurut Walter Oleksy (1995) dalam bukunya The Information Revolution: Education & Learning,

Multimedia adalah perkataan teknologi untuk perkakasan (hardware) dan perisian (software) yang membawa bersama-sama berjenis-jenis media teks, illustrasi-illustrasi, gambarfoto-gambarfoto, bunyi, suara, animasi dan video pada sebuah komputer.

         Menurut Nor Iadah Yusop (1995) di ceramahnya yang bertajuk Multimedia Dalam Pengajaran dan Pembelajaran ,

Multimedia adalah kaedah penyebaran maklumat yang direkabentuk khusus untuk menggabungkan bunyi, gambar-gambar pegun dan bergerak, grafik, animasi, data dan teks bersama-sama dengan keupayaan interaktif sesebuah komputer.

         Dengan itu, multimedia adalah suatu teknik yang menggabungkan data, teks, gambar, grafik, animasi, bunyi dan video. Pada masa dahulu, komputer menyampaikan maklumat melalui teks. Sekarang, terdapat grafik dan gambar-gambar untuk menunjukkan sesuatu perkara dengan jelas. Malahan ia mampu menunjukkan pergerakan dan kesan bunyi. Teknologi multimedia yang mampu mengintegrasikan teks, grafik, animasi, audio dan video dalam satu persembahan sedang hangat diperkatakan pada masa kini. Ramai yang berpendapat multimedia mampu memberi kesan yang besar dalam bidang komunikasi dan pendidikan.
         Secara umum, multimedia merupakan perantaraan dalam pembelajaran yang mengkombinasikan teks, video, suara dan animasi dalam sebuah perisian komputer yang interaktif.
.

 Sejarah Perkembangan Komputer Multimedia

         Multimedia telah menjadi suatu perkataan berbisik (buzzword) dalam tahun 1993. Akan tetapi multimedia dan cakera padat (CD-ROM : Compact Disk - Read Only Memory) telah ada beberapa tahun sebelum itu. Pada akhir tahun 1993, adalah dianggarkan terdapat 3.6 juta komputer multimedia di Amerika Syarikat. Pada masa itu tidak ada kekurangan perisian multimedia yang berkualiti rendah yang dapat dibeli oleh pengguna-pengguna. Pada akhir bulan Disember 1993, harga runcit perisian tersebut adalah dalam lingkungan US$59 hingga US$69.
         Taraf komputer multimedia (MPC : Multimedia Personal Computer) dalam tahun 1993 itu dinamakan MPC Level 1. Komputer multimedia tersebut menggunakan pemproses berjenis 386SX 16MHz dengan spesifikasi seperti berikut :

 MPC Level 1

 Jenis pemproses : 386SX 16MHz
 Memori : 2 Megabait RAM
 Cakera keras : 30 Megabait
 Pemacu CD-ROM : kelajuan 1 X
 Kad suara : 8-bit dengan MIDI playback
 Paparan : 16 warna VGA dengan resolusi 640 x 480
 

         Dalam tahun 1994, adalah dianggarkan bilangan komputer multimedia bertambah daripada 3.6 juta ke 11.4 juta buah. Pada akhir bulan Disember 1994, harga runcit perisian tersebut telah jatuh dan dalam lingkungan US$39 hingga US$49. Kos-kos pemasaran dan pengiklanan bertambah dan hampir sama dengan kos memajukan perisian tersebut.
         Dalam tahun 1994, perisian atau tajuk  multimedia CD-ROM telah meningkat sebanyak 227% berdasarkan penyelidikan yang dibuat oleh Syarikat Dataquest. Syarikat itu telah menganggarkan 53.9 juta tajuk CD-ROM telah dieksport berbanding dengan 16.5 juta dalam tahun 1993. Walau bagaimanapun, terdapat juga tajuk-tajuk CD-ROM percuma yang dieksport dengan sebuah komputer multimedia yang belum dikira.

         Taraf komputer multimedia dalam tahun 1994 itu berubah menjadi MPC Level 2. Komputer multimedia tersebut menggunakan pemproses berjenis 486SX 25MHz dengan spesifikasi seperti berikut :

 MPC Level 2
 
 Jenis pemproses : 486SX 25MHz
 Memori : 4 Megabait RAM
 Cakera keras : 160 Megabait
 Pemacu CD-ROM : kelajuan 2 X
 Kad suara : 16-bit dengan MIDI playback
 Paparan : 65536 warna VGA dengan resolusi 640 x 480
 

         Suatu kajian kes mengenai sikap konsumer terhadap multimedia oleh US Electronics Industry Association yang dibuat dalam bulan September 1994  telah mendapat bahawa hampir separuh daripada responden-responden sedar tentang perkataan ‘multimedia’. Didapati 7.5 juta buah komputer multimedia terdapat di rumah, dan 9 juta keluarga berkeinginan membeli komputer multimedia dalam dua belas bulan berikut itu. Juga, terdapat 53% merancang untuk kegunaan hiburan dan 55% untuk kegunaan kerja sekolah.
         Tajuk-tajuk permainan, buku rujukan dan tajuk-tajuk pendidikan telah menjadi ‘hit’ dalam tahun 1994. Oleh sebab persaingan antara penjual-penjual, margin untung untuk pemaju-pemaju telah jatuh disebabkan purata harga jual sesuatu tajuk multimedia adalah sebanyak US$11 sekeping.
         Dalam bulan Ogos 1995, trend menurun harga runcit itu bersambung apabila Microsoft memperkenalkan harga baru untuk produk-produknya dalam renj £49.99 hingga £19.99 . Taraf komputer multimedia dinamakan MPC Level 3. Komputer multimedia tersebut menggunakan pemproses berjenis Pentium 75MHz dengan tambahan kad MPEG (Motion Picture Expert Group) dengan spesifikasi seperti berikut :
 
MPC Level 3
 
Jenis pemproses : Pentium 75MHz atau 586
 Memori : 8 Megabait RAM
 Cakera keras : lebih dari 500 Megabait
 Pemacu CD-ROM : kelajuan 4 X
 Kad suara : 16-bit dengan MIDI playback
 Paparan : 256000 warna VGA dengan resolusi 640 x 480
 Kad video : kad MPEG
 

         Dalam tahun 1996 sehingga sekarang, taraf komputer multimedia masih MPC Level 3. Taraf ini hanya menjadi taraf minimum. Kebanyakan komputer multimedia yang dijual sekarang biasanya melebihi spesifikasi tersebut. Walau bagaimanapun, keperluan taraf tersebut adalah satu panduan bagi pemaju-pemaju apabila mereka memajukan aplikasi-aplikasi multimedia.

 

 Spesifikasi Komputer Multimedia Terkini

         Komputer yang mempunyai perkakasan yang berupaya untuk melaksanakan perisian multimedia dipanggil komputer multimedia. Pada masa kini, spesifikasi komputer multimedia adalah seperti berikut:

a. Pemproses Pentium 233 MHz dengan teknologi MMX

         Pemproses dengan teknologi MMX (MultiMedia eXtensions) mempunyai tambahan cache dalaman untuk melajukan semua aplikasi. Dengan pemproses dari Intel terdapat 57 arahan tambahan untuk melajukan perisian MMX tertentu.

b. Memori 32 Megabait EDO RAM

         Apabila hendak menggunakan sistem operasi Windows 95, memori yang dicadangkan adalah 32 Mb. 32 Mb RAM membolehkan ‘multi-tasking’ dilaksanakan dengan lebih licin.

c. Mother-board dengan 512 Kbait cache tertalian luaran

         Memori cache sekunder ini adalah untuk membaca dan menulis semula. Data diletakkan di situ untuk sementara waktu sebelum ia digunakan.

d. Kad video 4 Megabait SGRAM (Synchronous Graphic RAM)

         Semua sistem komputer memerlukan kad video yang memproses data dan arahan grafik serta video untuk dipaparkan ke monitor. Dewasa ini, kebanyakan sistem komputer dipasang dengan kad video dengan memori sekurang-kurangnya 2 Mb dan ia boleh ditambah sehingga 4 Mb. Lebih tinggi jumlah memori, lebih baik keupayaan grafik dan paparan keseluruhan.

 e. Cakera keras 6.5 Gigabait

         Lebih besar ruang cakera keras lebih banyak data boleh disimpan.

f. Pemacu cakera liut (floppy) 1.44 Megabait

         Untuk menyimpan data dalam disket 3½ inci yang saiznya kurang daripada 1.44 Mb, pemacu ini boleh digunakan.

g. Pemacu Zip

         Untuk menyimpan data yang lebih besar daripada 1.44 Mb, cakera zip perlu digunakan. Setiap cakera zip mampu menyimpan 100 Mb data.

h. Pemacu CD-ROM dengan kelajuan 24X

         Untuk menggunakan perisisan multimedia, pemacu CD-ROM diperlukan sebab tajuk multimedia datang dalam bentuk CD. Pemacu CD-ROM adalah tulang belakang sesuatu sistem komputer multimedia sebab banyak sumber multimedia adalah dalam bentuk format ini.

i. Kad suara PnP 16-bit 3D stereo

         Kebanyakan sistem komputer menggunakan kad suara 16-bit. Walau bagaimanapun, kad suara 32-bit juga dijual. Kad suara 16-bit lebih digunakan sebab kebanyakan tajuk multimedia dimajukan dengan dasar 16-bit.

j. Monitor multimedia 17"

         Monitor yang biasa dijual dengan sistem komputer pada masa kini adalah 14".

 k. Modem  33.6 Kbps data/fax dengan suara

         Modem diperlukan untuk berhubung dalam internet di mana terdapat banyak aplikasi multimedia. Modem yang biasa diberi dengan sistem komputer adalah modem 33.6 Kbps (Kilobit sesaat). Walau bagaimanapun, modem yang lebih cepat juga dijual di pasaran, iaitu modem 56Kbps.

l. Pembesar suara 300W

         Pembesar suara yang mempunyai keupayaan yang lebih bererti bunyi yang dikeluarkan adalah lebih menarik dan jelas.
 
 
 

 
 Penggunaan Multimedia Dalam Pendidikan

         Tidak dinafikan bahawa teknologi multimedia mampu memberi kesan yang besar dalam bidang komunikasi dan pendidikan kerana ianya boleh mengintegrasikan teks, grafik, animasi, audio dan video. Multimedia telah mengembangkan proses pengajaran dan pembelajaran ke arah yang lebih dinamik. Namun apa yang lebih penting ialah kefahaman tentang bagaimana untuk menggunakan teknologi tersebut dengan lebih efektif dan dapat mengeluarkan idea-idea untuk pengajaran dan pembelajaran.
         Buat masa kini, guru perlu mempunyai kemahiran dan keyakinan diri bagi menggunakan keupayaan teknologi ini dengan cara yang paling berkesan. Suasana pengajaran dan pembelajaran yang interaktif, lebih menggalakkan komunikasi aktif antara pelbagai hala. Penggunaan komputer multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah dengan matlamat meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran.
         Dengan berkembangnya teknologi multimedia, unsur-unsur video, bunyi, teks dan grafik boleh diserap di dalam perisian Pembelajaran Berbantukan Komputer (PBK). Hari ini, perisian PBK telah banyak didapati dalam pasaran yang disediakan dalam storan cakera padat yakni CD-ROM. Contoh-contoh perisian ini adalah seperti ensaiklopedia, kamus elektronik, buku cerita elektronik dan perisian kursus. Konsep permainan dalam pembelajaran digabung untuk menghasilkan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan. Perisian-perisian ini adalah dari jenis pembelajaran di dalam kelas atau pembelajaran kendiri. Ia boleh digunakan untuk pembelajaran di rumah dan di sekolah.
         Ensaiklopedia memberi peluang pembelajaran berlaku. Aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan penggunaan ensaiklopedia CD-ROM juga melibatkan pemikiran kritikal, mencari, menghubung dan menghasilkan maklumat - bukan hanya mengingat. Sama ada pembelajaran berlaku atau tidak, dan jenis pembelajaran yang berlaku bukan sahaja bergantung kepada isi dan bagaimana ia memotivasikan pelajar, tetapi lebih bergantung kepada kualiti pelajaran serta aktiviti murid yang telah dirancang oleh guru.
         Sesi pembelajaran boleh disesuaikan dengan tahap penerimaan dan kefahaman pelajar. Pencapaian dan kefahaman pelajar akan diuji. Jika pelajar tidak mencapai tahap yang memuaskan, maka sesi pemulihan pula akan dilaksanakan. Rekod pencapaian pelajar akan disimpan supaya prestasi pelajar boleh diawasi. Konsep pembelajaran kendiri dapat dilaksanakan dengan jayanya jika perisian tersebut menarik dan memotivasikan pelajar untuk terus belajar. Ini dapat dicapai jika perisian direkabentuk dengan baik menggunakan multimedia.
 Suasana pengajaran dan pembelajaran yang interaktif akan menggalakkan komunikasi aktif pelbagai hala ( pelajar-guru, pelajar-pelajar, pelajar-komputer ). Gabungan pelbagai media yang memanfaatkan sepenuhnya deria penglihatan dan pendengaran mampu menarik minat belajar. Namun yang utamanya ialah pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.
         Harus diingat bahawa teknologi multimedia hanya bertindak sebagai pelengkap, tambahan atau alat bantu kepada guru. Multimedia tidak akan mengambil alih tempat dan tugas guru. Multimedia adalah sebagai saluran pilihan dalam menyampaikan maklumat dengan cara yang lebih berkesan. Komputer hanya digunakan hanya jika ia adalah perlu dan pilihan yang terbaik. Andainya jikalau terdapat pilihan lain yang lebih berkesan untuk menyampaikan maklumat, gunakanlah pilihan itu.
         Di samping itu juga guru harus sedar keperluan berinteraksi dengan teknologi terkini bagi membiasakan generasi yang akan datang dengan cara hidup canggih abad ke 21 nanti. Penggunaan multimedia secara tidak langsung dapat memberikan peluang kepada guru dan pelajar menggunakan dan memahirkan diri dengan pelbagai teknologi terkini dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran teknologi baru yang akan datang.
 

 Kelebihan Penggunaan Multimedia Dalam Pendidikan

     Kelebihan penggunaan multimedia dalam pendidikan adalah seperti berikut:

a. Dalam pembelajaran berbantukan komputer
 - pelajar dapat didedahkan kepada isi pengajaran
 - maklumat dapat disimpan secara logik dalam ingatan
 - mengeluarkan semula maklumat atau kemahiran secara berkesan.

b. Sebagai sumber maklumat / pengkalan data
 - mampu untuk menyokong model sebagai sumber maklumat
 - mencari hubungan atau kaitan dari satu maklumat ke maklumat lain
 - untuk menghasilkan persekitaran yang kaya dengan maklumat
 - memperkayakan serta mempelbagaikan aktiviti pembelajaran.

c. Sebagai bahan kursus untuk memperkayakan aktiviti P&P
 - memperkayakan aktiviti pengajaran & pembelajaran untuk pelajar pra sekolah dan sekolah rendah
 - menghiburkan kanak-kanak dan meningkatkan kemahiran membaca, mendengar dan berinteraksi secara individu dengan teknologi terkini.

d. Sebagai alat bantu mengajar
 - memberi peluang kepada guru mengubah kaedah pengajaran
 - menginteraksikan klip video atau animasi yang sesuai supaya lebih menarik dalam pengajaran.
 
 

 Ciri-ciri Yang Perlu Ada Dalam Perisian Kursus Multimedia Dalam Pendidikan

         Perisian dibina dengan tujuan untuk menghasilkan persekitaran kaya maklumat bagi memberi peluang kepada pelajar untuk ‘browse’ dan menjelajahinya. Terdapat banyak tajuk-tajuk CD-ROM di pasaran yang boleh digunakan untuk memperkayakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ciri-ciri yang perlu ada dalam perisian kursus Multimedia dalam Pendidikan adalah seperti berikut :

a. Carian menggunakan katakunci, indeks atau senarai kandungan hendaklah mudah dilaksanakan
         Apabila kita hendak mencari sesuatu, kita boleh menggunakan katakunci supaya terus ke bahagian yang dikehendaki. Ciri ini perlu dilaksanakan dengan mudah.

b. Mudah untuk install
         Sebarang perisian multimedia perlu mudah diinstall ke komputer yang akan digunakan oleh pengguna.

c. Mudah diguna dan senang untuk faham
         Perisian multimedia perlu mudah diguna dan senang untuk faham. Jikalau ia susah diguna atau susah untuk faham, pengguna hendaklah selalu merujuk ke pengajar yang mengendalikan kursus itu.

d. Dapat menggunakan perisian mengikut rentaknya sendiri (flexible)
         Jika pengguna tidak faham sesuatu dan hendaklah merujuk balik ke bahagian yang tertentu itu, ia boleh membuat demikian dengan berapa kali yang ia suka tanpa merisau tentang kawan-kawannya yang lebih cepat.

e. Bersepadu dan berinteraktif
         Pengguna diajar dengan berinteraktif dengan kerja kursusnya, bukan hanya mencatat nota sahaja daripada pengajarnya.

f. Persekitaran yang kooperatif
         Sesuatu perisian multimedia perlu mempunyai persekitaran yang kooperatif. Pengguna boleh membuat sesuatu dan perisian itu dapat memberi maklumbalas yang cepat.

g. Kit pembelajaran kendiri
         Perisian kursus multimedia hendaklah merupakan satu kit pembelajaran kendiri supaya sesiapa sahaja dapat belajarnya tanpa bantuan daripada orang lain.

 
Multimedia Dalam Internet

         Perkhidmatan mel elektronik yang berbentuk teks dan grafik akan ditingkatkan lagi dengan keupayaan untuk menghantar gambar-gambar video dan bunyi melalui talian komunikasi. Gambar-gambar video dan bunyi ini boleh dihantar secara langsung seperti sidang video atau disimpan dalam storan dan dimuatkan ke komputer apabila diperlukan oleh pengguna. Konsep sidang video kini digunakan dalam program pendidikan jarak jauh. Oleh itu, pelajar hanya perlu menghadiri stesen tempat diadakan sidang video tersebut tanpa perlu berdepan dengan guru atau pensyarah secara fizikal. Ini mungkin dapat membantu masalah kekurangan guru pakar dan tenaga profesyenal. Satu sesi bersama pensyarah yang dijemput khas boleh diadakan dan boleh diikuti oleh ramai pelajar dari lokasi yang berasingan. Untuk tujuan ini, terminal atau komputer yang digunakan mesti dilengkapi dengan kamera digital dan mikrofon untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi pelajar dengan tenaga pengajar.
         Satu kaedah lagi ialah unsur-unsur video, bunyi, teks dan grafik ini disimpan dalam storan. Apabila ada permintaan, maka perisian tersebut akan dihantar melalui saluran komunikasi ke komputer pelajar. Aplikasi ini dipanggil pembelajaran atas permintaan. Ia membolehkan pelajar menentukan masa dan kekerapan capaian bersesuaian dengan keperluannya. Pelajar tidak perlu umpamanya menunggu masa siaran yang ditetapkan seperti dalam Televisyen dan Radio Pendidikan.
          Dengan kemajuan telekomunikasi juga membolehkan satu projek berkumpulan dilakukan dengan lebih cekap dan produktif. Perbincangan mengenai bahan projek boleh dilakukan melalui telefon video dan telesidang. Malahan bahan projek boleh diteliti oleh setiap ahli projek pada skrin komputer masing-masing dan perubahan boleh dilakukan di skrin disaksikan oleh semua ahli. Konsep ini boleh digunakan untuk membantu melincinkan pengurusan pendidikan.
         Melalui internet, pelajar boleh mendapat pendidikan global sebab ia adalah sebagai gedung maklumat di mana maklumat interaktif dapat diperoleh dengan cepat dan mudah.
 

 Cabaran Multimedia Masa Hadapan

         Respons kepada sahutan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk pemindahan teknologi maklumat yang efektif, Limkokwing Integrated Group, Microsoft (M) Sdn. Bhd. dan Digital Equipment berganding bahu mendirikan sebuah pusat yang dipanggil ‘Advanced Multimedia Centre’ (AMC). Pada mulanya, pusat ini akan diletakkan di Institut Limkokwing, dan akan ditukar ke dalam lingkungan Koridor Raya Multimedia ( Multimedia Super Corridor ) apabila infrastrukturnya sudah siap. Pusat ini adalah pusat latihan multimedia lanjutan yang terunggul sekali di Malaysia. Limkokwing Group akan memberi kemahiran-kemahiran kreatif, sementara Microsoft akan memberi kemahiran dalam perisiannya dan Digital akan memberi kemahiran dalam teknologinya.
         AMC telah menerima pengambilan pertama pada April 1997. Pelajar-pelajar AMC akan mengikuti kursus dengan teknologi yang terkini yang terdapat di mana-mana tempat di dunia ini. Objektif latihan ini adalah untuk menghasilkan sumber manusia yang berilmu teknologi dan berkemahiran tinggi dalam multimedia.
         Membicarakan mengenai usaha Koridor Raya Multimedia, pastinya antara aplikasi yang diberikan perhatian ialah inisiatif sekolah bestari. Sekolah bestari adalah salah satu flagship dalam projek Koridor Raya Multimedia. Fasa pertama sekolah bestari akan mula beroperasi dalam tahun 1999. Usaha pemanjangan ke seluruh negara pastinya akan bergantung kepada faktor sejauh manakah ia berkesan dalam usaha pembelajaran dan juga perlaksanaan sistem pendidikan negara.
         Kemajuan teknologi akan masuk dalam kurikulum sekolah dan proses ini akan meluaskan skop pendidikan dalam kemahiran-kemahiran tambahan yang perlu ada bagi individu dan kejayaan nasional dalam abad ke 21. Untuk memudahkan pembelajaran, semua sekolah bestari akan dilengkapkan dengan optik fiber, komputer dan kemudahan multimedia. Bersama-sama dengan rancangan memajukan sekolah bestari dan menghubungkan semua sekolah ke internet dalam awal abad ke 21, negara Malaysia berharap menghasilkan sumber manusia yang cukup untuk keperluan industri teknologi maklumat (IT). Menurut Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, 85 buah sekolah bestari dijangka siap dibina dalam tahun 1999. Pada tahun 2010, projek sekolah bestari ini akan dikembangkan ke semua sekolah rendah dan sekolah menengah.
         Menurut laporan kajian yang dilakukan oleh Kumpulan Juruperunding OmniTech, penggunaan peralatan multimedia untuk latihan mendapat sambutan hebat daripada organisasi korporat dan dijangka menjadi medium utama dalam pembelajaran menjelang tahun 2000. Bukti menunjukkan bahawa penggunaan masa yang diperuntukkan untuk latihan ialah 37% berbanding dengan 16% jika menggunakan multimedia interaktif. Pengarah kajian, John A. Faier, berkata bahawa penggunaan peralatan multimedia dalam latihan akan menggantikan kaedah pembelajaran secara tradisional yang mewajibkan pelatih perlu berada di bilik latihan. Dengan itu, produktiviti pekerja dapat ditingkatkan.
         Jadi, penggunaan multimedia amat perlu dan mencabar dalam sistem pendidikan akan datang.

 
 

 Penutup

         Harga komputer yang semakin menurun dengan keupayaan yang sentiasa dipertingkatkan memungkinkan komputer digunakan secara lebih meluas terutamanya dalam bidang pendidikan. Memiliki teknologi yang betul merupakan salah satu dari keperluan untuk menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Namun, yang lebih penting ialah kefahaman tentang bagaimana media baru dapat digunakan secara efektif untuk memberikan idea-idea baru bagi mempersembahkan bahan-bahan pembelajaran yang membolehkan pelajar dimotivasikan untuk menjelajah isi pelajaran yang seterusnya memperkayakan proses pembelajaran.
         Teknologi maklumat bersifat dinamik dan sentiasa berkembang dengan pesatnya. Multimedia juga adalah satu contoh teknologi yang sedang melalui era perkembangan. Memang tidak dapat dinafikan mempunyai potensi yang besar dalam sistem pendidikan ketika ini. Menerima kehadiran teknologi multimedia ini tidaklah mencukupi tanpa mempraktikkannya. Oleh itu, untuk sama-sama memanfaatkannya, kita perlu sentiasa mengikuti berbagai latihan dan kursus yang berkaitan untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran seiring dengan perkembangan tersebut.
         Dengan menggunakan komputer multimedia asas, guru boleh menggunakan perisian aplikasi berbentuk multimedia dalam bilik darjah. Guru perlu mempunyai kemahiran untuk menilai, memilih, mengolah dan melaksanakan aktiviti yang berkaitkan dengan multimedia dengan berkesan. Perancangan teliti adalah perlu kerana sebenarnya kelebihan multimedia bukan terletak semata-mata kepada teknologinya, tetapi sebenarnya adalah kepada kreativiti dan usaha guru itu sendiri. Walau bagaimanapun, kerjasama dan sokongan semua pihak adalah merupakan penentu kepada sebarang implementasi projek komputer. Guru perlu memperlengkapkan diri dengan sentiasa mengikuti perkembangan semasa teknologi maklumat.
 


 
Bahan rujukan

1. Majalah Computimes dari akhbar New Straits Times dari bulan Mach 1997 hingga bulan Disember 1997.
2. Nor Iadah Yusop (1995). Ceramah yang bertajuk Multimedia Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. IPDA, Jitra.
3. Walter Oleksy (1995). The Information Revolution: Education & Learning. Facts On File, Inc, New York.